suria

Tiada niat buka aib bekas suami, Abby Abadi hanya kongsi tanggungjawab bayar hutang

Abby perjelaskan niat sebenar lakukan perkongsian mas kahwin tertangguh.

MENYEDARI pelbagai spekulasi timbul susulan pendedahannya mengenai mas kahwin tertangguh, pelakon Abby Abadi menegaskan perkongsian tersebut bukan bertujuan mengaibkan bekas suaminya, iaitu aktor Norman Hakim.

Abby atau nama sebenarnya Arbaiyah Abdul Manan, 49, berkata niatnya hanyalah sebagai peringatan agar tanggungjawab seperti hutang tidak ditangguhkan selagi masih bernyawa.

“Saya kongsi tentang mas kahwin itu dengan niat supaya menjadi contoh kepada bekas suami di luar sana. Apa yang tertangguh, selesaikan selagi masih ada. Tiada niat pun untuk mengaibkan sesiapa,” katanya menerusi di TikTok.

Abby kongsi mesej yang diterimanya daripada Norman.

Menurut Abby, selepas perkongsian tersebut dibuat, ramai netizen memuji sikap tanggungjawab bekas suaminya itu.

Bagaimanapun, Abby mendakwa Norman terasa hati dengan perkara tersebut sehingga menarik diri daripada percutian keluarga mereka.

“Ramai saja yang puji Oman (Norman Hakim). Kata dia bagus, baik, bertanggungjawab, kacak dan pemurah. Tapi Oman merajuk sampai tak nak pergi Jepun.

ARTIKEL BERKAITAN: 22 tahun sabar menanti, Abby Abadi akhirnya terima mas kahwin tertangguh daripada Norman Hakim

ARTIKEL BERKAITAN: “Dia juga berhak diraikan” – Abby Abadi berangan adakan majlis sanding untuk Marissa Dania

“Saya berpuluh tahun sabar pun tak pernah merajuk. Gagah saja. Awak (Norman) tak payah nak benyek-benyek sangat,” ujarnya berseloroh terhadap Norman.

Sebelum ini, Abby memaklumkan dia akhirnya menerima bayaran mas kahwin tertangguh daripada Norman selepas menunggu selama 22 tahun.

Dalam masa yang sama, Abby menzahirkan rasa syukur kerana suaminya, Faizal Zakaria, serta isteri Norman, Memey Suhaiza, tidak pernah mencampuri urusan tertangguh antara mereka.

Abby sebelum ini mendadahkan dia menerima bayaran mas kahwin tertangguh.

Untuk rekod, Abby dan Norman mendirikan rumah tangga pada 2002 sebelum bercerai pada 2009.

Hasil perkahwinan tersebut, mereka dikurniakan tiga orang cahaya mata iaitu Mohamed Danish Hakim, 22, Marissa Dania Hakim, 20, dan Danisha Hakim, 17.

Abby kemudian berkahwin dengan Faizal, manakala Norman mendirikan rumah tangga bersama Memey pada 2011.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain

[V] Isma Aliff meninggal dunia