suria

22 tahun sabar menanti, Abby Abadi akhirnya terima mas kahwin tertangguh daripada Norman Hakim

Abby dan Norman mempunyai tiga orang anak bersama.

PELAKON Abby Abadi memaklumkan dia akhirnya menerima bayaran mas kahwin yang tertangguh daripada bekas suaminya yang juga aktor Norman Hakim.

Abby atau nama sebenarnya Arbaiyah Abdul Manan, 49, berkata dia bersyukur kerana suaminya Faizal Zakaria serta isteri Norman iaitu Memey Suhaiza tidak pernah mencampuri hal yang tertangguh antara mereka.

Menurut Abby, dia percaya setiap rezeki yang telah ditetapkan pasti menjadi miliknya, sama ada cepat atau lambat.

Abby bersyukur penantiannya berbaloi.

“Dengan tenangnya saya kongsikan serba sedikit supaya semua tahu, yang ini (mas kahwin) sudah selesai selepas 22 tahun. Terima kasih suami dan Memey kerana tak pernah campur urusan yang tertangguh ini.

“Bukan nak kongsi sangat pun sebenarnya, cuma nak maklumkan berkat kesabaran selama 22 tahun ini, rezeki saya tetap rezeki saya. Alhamdulillah,” katanya menerusi satu hantaran di TikTok.

Dia bagaimanapun tidak berkongsi lanjut mengenai jumlah yang diterimanya itu.

Dalam pada itu, Abby turut merakamkan penghargaan kepada Norman kerana sudi melunaskan tunggakan berkenaan selepas berkemampuan.

ARTIKEL BERKAITAN: “Dia juga berhak diraikan” – Abby Abadi berangan adakan majlis sanding untuk Marissa Dania

ARTIKEL BERKAITAN: Abby Abadi ‘sound’ lelaki hidup atas duit wanita, ramai setuju terus pertahankan anak

“Terima kasih Norman kerana sudi bayar apa yang tertunggak setelah berkemampuan. Awak kata tak perlu kongsi, tapi tak apalah saya suka nak kongsi.

"Saya terus menunggu dengan penuh kesabaran. Semoga berkat kesabaran 22 tahun ini, dapatlah saya sebuah mahligai bukan hanya di dunia, tetapi di syurga sana,” katanya.

Bagaimanapun, Abby menjelaskan masih terdapat tuntutan lain yang belum diselesaikan melibatkan nafkah sepanjang tempoh perkahwinan mereka.

“Yang saya tuntut nafkah makan minum dan tempat tinggal untuk 18 tahun, panjang lagi ceritanya. Yang ini hanya duit mas kahwin,” luahnya.

Norman bersama tiga anak hasil perkahwinannya bersama Abby.

Untuk rekod, Abby dan Norman pernah mendirikan rumah tangga pada 2002 namun bercerai pada 2009.

Hasil perkongsian hidup, mereka dikurniakan tiga orang cahaya mata iaitu Mohamed Danish Hakim, 22, Marissa Dania Hakim, 20, dan Danisha Hakim, 17 tahun.

Selepas itu, Abby mendirikan rumah tangga bersama Faizal manakala Norman pula berkahwin kali kedua dengan Memey pada 2011.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain