suria

Dunia komedi semakin tenat, ramai sudah mula ‘tarik handbrake’… Shahrol Shiro percaya masih boleh diselamatkan

Shahrol percaya industri komedi masih boleh diselamatkan.

PELAWAK Shahrol Shiro meluahkan rasa bimbang mendengar keluhan rakan-rakan industri mengenai program komedi di televisyen yang semakin berkurangan.

Kata Shahrol, atau nama sebenarnya Shahrol Azizie Azmi, 41, ada di antara rakan-rakannya yang sudah meninggalkan kerjaya sebagai penghibur dan mula beralih bidang demi meneruskan kelangsungan hidup.

Namun, dia percaya industri komedi masih mempunyai harapan untuk kembali bangkit sekiranya pendekatan dan kandungan diubah mengikut kesesuaian selera penonton masa kini.

Shahrol sediakan beberapa cadangan yang membantu program komedi.

“Kata sahabat saya, industri komedi Malaysia hari ini tenat. Program-program komedi di televisyen pun setahun sekali saja. Ada yang sudah balik kampung dan ada juga yang ‘tarik handbrake’.

“Bagi saya, industri komedi kita masih boleh diselamatkan. Sajian komedi perlu diubah dan diselaraskan dengan selera penonton sekarang,” katanya di Instagram.

Dalam hantaran tersebut, Shahrol turut berkongsi foto yang memaparkan dirinya seakan sedang merangka sesuatu dengan harapan dapat membantu menaikkan semula hiburan berbentuk komedi.

ARTIKEL BERKAITAN: Shahrol Shiro dah buat laporan polis, dakwa lawak ditulis Harith Iskander buka ruang agama dipersenda

ARTIKEL BERKAITAN: [V] Selepas 7 tahun bawa haluan masing-masing, akhirnya Ajak dan Shahrol Shiro ‘comeback’ atas pentas sama

Tambahnya lagi, usaha ke arah tersebut sedang dilakukan bagi memastikan industri komedi kembali berkembang dan relevan.

“Secara peribadi, saya sangat sayangkan seni komedi kerana ia banyak mengubah hidup saya. Sebab itu saya cuba fikir dan rangka beberapa cadangan supaya industri ini tidak terus tenggelam,” ujarnya.

Sebelum ini, pelawak Fad Bocey berkongsi pendapat bahawa golongan pelawak terpaksa menerima hakikat bahawa perjalanan seni mereka kini tidak lagi seindah dahulu.

Fad, atau Muhammad Fadzlie Mohd Nizam, 34, berkata sama ada mahu atau tidak, semua penggiat industri termasuk pelawak, penyanyi, dan pelakon akan melalui fasa naik dan turun ibarat putaran roda kehidupan.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain

[V] Isma Aliff meninggal dunia