suria

GiatMara: Wanita Umno Selangor Persoal Kenyataan Berbeza MB, PTD Gombak

KUALA LUMPUR: Pergerakan Wanita Umno Selangor mempersoal dua kenyataan berbeza daripada Menteri Besar Selangor serta Pejabat Tanah dan Daerah (PTD) Gombak berhubung kedudukan Pusat Latihan GiatMara Selayang.

Ketua pergerakan itu, Datuk Norhayati Onn berkata Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim perlu mengeluarkan surat khusus jika benar pusat latihan itu ada pilihan untuk meneruskan operasi dengan syarat kemudahan dan prasarana dinaik taraf.

Norhayati, dalam satu kenyataan pada Jumaat, berkata Abdul Khalid perlu membatalkan surat PTD Gombak sebelum ini yang menyatakan pusat itu akan ditutup kerana beroperasi di tanah milik kerajaan negeri tanpa kebenaran.

Beliau berkata surat khusus itu juga perlu supaya orang ramai tidak melihat kenyataan Menteri Besar berkenaan sebagai kenyataan politik semata-mata bagi meredakan keadaan ekoran bantahan pelbagai pihak.

" ...Dan apabila tiba masanya pusat berkenaan terpaksa ditutup, berikutan ketiadaan surat (daripada Menteri Besar) bagi mengatasi arahan yang diterima sebelum ini (daripada PTD Gombak)," katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Wanita Umno Selangor juga memohon Abdul Khalid dan kerajaan negeri memberi penjelasan serta ketetapan berhubung masa depan semua pusat latihan GiatMara lain di negeri itu.

Pergerakan itu turut mencadangkan kerajaan negeri Selangor dan pengurusan GiatMara berbincang bagi mencari penyelesaian serta mengelak kejadian serupa berulang.

"Wanita Umno Selangor tidak mahu GiatMara yang masih beropersi di Selangor menerima nasib seperti Pusat GiatMara Sabak Bernam, yang diarah tutup kira-kira dua tahun lalu kerana beroperasi di tanah kerajaan negeri, kini dipenuhi dengan 'penuntut' semak samun.

"Jangan disebabkan perbezaan politik antara kerajaan negeri dengan kerajaan Persekutuan, rakyat menjadi mangsanya, ia boleh diibaratkan seperti kata pepatah 'kerana marahkan seekor nyamuk, kelambu dibakar'," katanya. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain