suria

Umat Islam Perlu Perkukuh Persaudaraan, Harmonikan Pandangan Berbeza - Agong

Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah dan Raja Permaisuri Agong Tuanku Hajah Haminah berkenan berangkat pada sambutan Maulidur Rasul Peringkat Kebangsaan 1435H/2014M di Masjid Putra, Putrajaya pada Selasa. - fotoBERNAMA
Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah dan Raja Permaisuri Agong Tuanku Hajah Haminah berkenan berangkat pada sambutan Maulidur Rasul Peringkat Kebangsaan 1435H/2014M di Masjid Putra, Putrajaya pada Selasa. - fotoBERNAMA

PUTRAJAYA: Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah bertitah umat Islam di negara ini perlu sentiasa berusaha memperkukuh persaudaraan serta mengharmonikan pandangan yang berbeza dalam menilai sesuatu perkara.

Seri Paduka bertitah perpaduan wajib dipupuk dan diperteguh agar umat Islam tidak dipandang rendah oleh musuh yang sentiasa berusaha meneruskan agenda mereka yang tersendiri.

"Akhir-akhir ini, beta melihat terdapat segelintir penganut Islam yang mudah terpengaruh dengan fahaman luar dan asing yang dibawa masuk dalam masyarakat kita. Fahaman ini didapati ada yang tidak sesuai dengan pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah dan amalan lazim umat Islam negara ini.

"Dari satu sudut, perbezaan pandangan atas dasar perbezaan mazhab yang berlainan dianggap isu yang remeh dan kecil kerana hanya melibatan isu cabang dan ranting," titah baginda samasa merasmikan sambutan Maulidur Rasul Peringkat Kebangsaan 1435H/2014M di Masjid Putra di sini hari ini. Turut berangkat Raja Permaisuri Agong Tuanku Hajah Haminah.

Sambutan bertemakan 'Wasatiyyah Tonggak Kesatuan Ummah' itu turut dihadiri Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan isteri Datin Seri Rosmah Mansor, Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dan isteri Puan Sri Noorainee Abdul Rahman, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom, Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Dr Ali Hamsa, para menteri Kabinet dan perwakilan negara luar.

Tuanku Abdul Halim bertitah sikap umat Islam yang lebih cenderung untuk terus berpolemik dalam perkara remeh-temeh hanya memberi imej buruk kepada ummah yang dilihat sebagai tidak matang dan gagal menguasai pelbagai bidang ilmu.

"Namun ingatlah, cara ia dibahas, dipertikai dan dibincangkan secara sinis dan melulu, boleh mengundang perbalahan, mencetuskan polemik dan boleh mengakibatkan perpecahan serta kegelisahan awam," titah baginda.

Sempena sambutan Maulidur Rasul tahun ini, Tuanku Abdul Halim menyeru seluruh rakyat Malaysia agar bersama-sama mengekal dan memperkukuhkan perpaduan dan membina kekuatan ummah bagi memajukan agama, bangsa dan negara.

"Marilah kita sama-sama menjayakan setiap usaha memperkukuh persaudaraan, pembaharuan dan perubahan dengan menggunakan acuan Islam sebagaimana yang diajar oleh Nabi Muhammad S.A.W dengan penuh kesederhanaan dan berimbang," titah baginda.

Tuanku Abdul Halim bertitah perkara asas dalam ajaran Islam dan pendekatan yang digunakan oleh Rasulullah adalah kesederhanaan dan keseimbangan atau wasatiyyah dalam beramal.

Baginda bertitah Nabi Muhammad S.A.W. juga berjaya membuang tabiat buruk dan budaya fanatik dalam kalangan masyarakat dan menggantikannya dengan budaya toleransi dan saling memahami antara satu sama lain.

"Rasulullah berjaya membuktikan kepelbagaian dalam masyarakat sama ada dari segi bangsa, keturunan, pegangan agama, budaya dan bahasa, bukanlah satu masalah dan penghalang kepada perpaduan asalkan kesederhanaan ataupun pendekatan wasatiyyah itu dijadikan amalan dalam kehidupan," titah baginda.

Tuanku Abdul Halim bertitah jika pendekatan wasatiyyah dapat dihayati, perpaduan akan dapat dicapai dan kecemerlangan akan menjadi kenyataan.

"Ingatlah, kestabilan politik dan keharmonian hidup masyarakat berbilang kaum akan banyak menyumbang ke arah memajukan lagi sosio-ekonomi negara yang tercinta," titah baginda.

Pada majlis itu, Pengerusi Penasihat Syariah Bank Negara Malaysia, Dr Mohd Daud Abu Bakar dipilih sebagai Tokoh Perdana Anugerah Maulidur Rasul 2014 yang disampaikan oleh Yang di-Pertuan Agong.

Mohd Daud menerima wang tunai RM50,000 berserta plak, sijil dan satu set Tafsir Fi Zilal alQuran.

Selain itu, lapan lagi individu turut menerima Anugerah Maulidur Rasul dengan masing-masing membawa pulang wang tunai RM20,000 beserta plak, sijil, dan hadiah iringan.

Terdahulu,sambutan Maulidur Rasul bermula dengan perarakan 151 kontinjen membabitkan 13,598 peserta terdiri daripada 73 pasukan jabatan kerajaan, 28 badan berkanun, 20 swasta, 10 badan beruniform, 10 sekolah, enam institut pengajian tinggi dan empat kontinjen badan bukan kerajaan.

Peserta berarak sambil berselawat sejauh 1.7 kilometer bermula di hadapan bangunan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan dan Persiaran Perdana menuju Masjid Putra.

Perarakan tahun ini lebih unik dengan penglibatan motosikal berkuasa tinggi dari Kelab Motosikal 300KMJ, Persatuan Paramotor Malaysia, pasukan bot air Perbadanan Putrajaya dan Persatuan Vespa Malaysia.- BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain