suria

Salah Guna Visa: Polis Manjung Tahan 74 Warga Asing

MANJUNG: Polis Manjung menahan 74 warga asing yang didapati menyalah guna visa dalam sembilan serbuan bersempena Ops Noda di sekitar daerah ini, bermula 5 Januari lepas.

Ketua Polis Daerah Manjung ACP Jaafar Baba berkata mereka terdiri daripada 51 rakyat Vietnam, 19 Cina dan empat Thailand yang berumur lingkungan 17 hingga 30 tahun.

"Mereka ditahan kerana menyalahi Peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 iaitu menyalah guna pas lawatan sosial; Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1969/63 kerana memasuki negara ini tanpa permit sah dan Seksyen 13 Akta Anti Pemerdagangan Orang 2007," katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Daerah Manjung Isnin.

Beliau berkata serbuan dilakukan di pusat hiburan, refleksologi, restoran dan rumah persendirian.

"Mereka yang ditahan ada yang didapati telah berkahwin dengan warga tempatan dan ada juga yang tinggal di sini, kebanyakkannya bekerja sebagai GRO," katanya.

Jaafar berkata sepanjang tahun lepas, polis menahan 650 warga asing dalam 83 serbuan kerana dipercayai menyalah guna visa.

"Dalam serbuan itu, antara yang ditahan ialah 490 warga Vietnam, lima rakyat Myanmar, Thailand (46), Indonesia (24), India (5) dan China (4)," katanya.

Sementara itu, beliau berkata polis menahan 10 individu dan merampas 114 komputer judi dalam 10 serbuan Ops Dadu sekitar daerah ini.

"Maklumat mengenai operasi itu juga diperoleh daripada orang awam. Hasil siasatan mendapati kebanyakan mereka bermain judi kerana mahu membayar hutang," katanya.

Jaafar juga berkata dalam operasi serupa pada tahun lepas, 38 orang ditahan dan sejumlah 444 mesin judi dirampas dalam 224 serbuan. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain