suria

Dua Penagih Dadah Cuba Sogok Polis

KUANTAN: Gara-gara cuba menyogok polis, dua penagih dadah bukan sahaja bakal berdepan tuduhan penyalahgunaan dadah malah tuduhan rasuah yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda jika sabit kesalahan.

Ketua Polis Daerah Raub, Superitenden Wan Mohd Samsudin Wan Osman berkata dua lelaki itu ditahan dalam sebuah kereta kira-kira 12.30 malam Khamis dalam Ops Tapis di bandar Raub.

Katanya, ketika dalam perjalanan ke Ibu Pejabat Polis Daerah Raub untuk menjalani ujian saringan air kencing, suspek berumur 20-an menyerahkan satu sampul surat manakala suspek berusia 40-an menyerahkan satu kotak tisu kepada anggota polis agar mereka dilepaskan.

"Hasil pemeriksaan ke atas sampul surat dan kotak tisu itu polis menemui wang tunai sebanyak RM1,453," katanya kepada Bernama di sini, Jumaat.

Beliau berkata, hasil siasatan mendapati suspek berumur 20-an mempunyai kes membabitkan penyalahgunaan dadah yang belum selesai manakala suspek kedua memiliki lapan rekod jenayah termasuk penyalahgunaan dadah.

Kedua-dua suspek yang positif dadah kini disiasat mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun dan denda RM5,000 atau kedua-duanya dan Seksyen 17(b) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda lima kali nilai suapan atau denda RM10,000 atau mana yang lebih tinggi. - BERNAMA

Artikel Lain