suria

2.3 Juta Pekerja Asing Perlu Ada I-Kad Sebelum Hujung Tahun Ini

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi ketika melancarkan i-Kad Pekerja Asing di kementeriannya di Putrajaya, Khamis. Turut hadir, Pengarah Urusan Percetakan Nasional Malaysia Berhad, Izham Yusoff (kanan). -fotoBERNAMA
Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi ketika melancarkan i-Kad Pekerja Asing di kementeriannya di Putrajaya, Khamis. Turut hadir, Pengarah Urusan Percetakan Nasional Malaysia Berhad, Izham Yusoff (kanan). -fotoBERNAMA

PUTRAJAYA: Seramai 2.3 juta pekerja asing yang sah diwajibkan memiliki I-Kad selewat-lewatnya akhir tahun ini.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, kad tersebut amat penting bagi membezakan warga Malaysia dengan warga asing yang bekerja di negara ini.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan majlis pelancaran I -Kad Pekerja Asing di sini, Khamis.

Menurutnya, kad tersebut dibangunkan berdasarkan keperluan dan dilengkapi kod bar untuk menentukan segala butiran peribadi pemilik kad berkenaan.

"Dalam kad ini ada dua elemen penting iaitu biometrik dan cap jari bagi mengelakkan sebarang penipuan dan pemalsuan kad tersebut.

"Justeru, kita mensasarkan menjelang hujung tahun ini, 100 peratus pekerja asing yang sah mesti ada I-Kad bagi memudahkan identiti mereka dikenal pasti," katanya.

Jelas beliau lagi, warna kad tersebut akan dikeluarkan mengikut sektor pekerjaan masing-masing.

Ketika ditanya mengenai kos bayaran kad tersebut, Ahmad Zahid berkata, kad tersebut ditanggung oleh majikan dimana mereka hanya perlu membayar RM110 bagi mendapatkan kad berkenaan untuk pekerja-pekerja mereka.

Katanya, KDN juga akan mempertingkatkan ciri-ciri keselamatan pada kad tersebut pada Fasa Kedua, selepas pengeluaran kad bagi Fasa Pertama selesai.

Kad tersebut dikeluarkan oleh Percetakan Nasional Malaysia Berhad (PNMB).

Sementara itu, Ketua Pengarah Jabatan Imigresen, Datuk Seri Alias Ahmad pekerja-pekerja asing boleh memohon sendiri kad tersebut tetapi untuk memudahkan proses berkenaan, majikan digalakkan menguruskannya untuk setiap pekerja mereka.

"Buat masa ini, majikan disarankan untuk menguruskan proses permohonan kad ini bagi semua pekerja mereka supaya urusan menjadi lebih mudah," katanya.

Ketika ditanya mengenai apakah tindakan sekiranya pekerja asing kehilangan kad tersebut, Alias berkata, penalti akan dikenakan bagi mendapatkan semula kad berkenaan dengan bayaran RM110.

Artikel Lain