suria

41% Responden KL Anggap Kesesakan Adalah Kekecewaan Nombor Satu

SESAK... Gambar fail menunjukkan keadaan  lalulintas yang dirakam dari atas jejantas berhampiran Institut Jantung Negara (IJN) di Kuala Lumpur.
SESAK... Gambar fail menunjukkan keadaan lalulintas yang dirakam dari atas jejantas berhampiran Institut Jantung Negara (IJN) di Kuala Lumpur.

KUALA LUMPUR: Satu penyelidikan pasaran oleh Frost and Sullivan terhadap 1,227 responden di sini mendedahkan 41 peratus daripada responden menganggap kesesakan lalu lintas sebagai kekecewaan nombor satu, lebih tinggi daripada purata 35 peratus kadar bagi Asia Pasifik dan 29 peratus tahap global.

Rakan kongsi Asia-Pasifik merangkap Ketua Amalan Automotif dan Pengangkutan, Kavan Mukhtyar berkata kesesakan lalu lintas di sini berpunca daripada pergantungan penduduk terhadap kereta, berbanding pada tahap global dan serantau.

"Lebih 79 peratus penduduk Kuala Lumpur bergantung kepada pengangkutan persendirian seperti kereta manakala lapan peratus bergantung kepada pengangkutan awam.

"Sebelas peratus lagi menggunakan gabungan antara pengangkutan awam dan persendirian manakala dua peratus bukan kereta," katanya pada taklimat media mengenai industri kenderaan negara ini tahun ini, di sini, Rabu.

Sebagai perbandingan, katanya, purata 54 peratus penduduk di Asia Pasifik menggunakan pengangkutan persendirian, 24 peratus pengangkutan awam, 15 peratus gabungan antara dua cara itu dan tujuh peratus bukan kereta.

Sementara itu, purata penduduk global yang menggunakan pengangkutan persendirian ialah 53 peratus, pengangkutan awam (26 peratus), gabungan pengangkutan (13 peratus) dan bukan kereta (lapan peratus)," katanya.

Mukhtyar berkata Kuala Lumpur akan menghadapi cabaran kesesakan jalan raya pada masa depan berikutan pemilikan kereta terus bertambah.

Bagaimanapun, katanya, kerajaan Malaysia dalam Pelan Pengangkutan Kerajaan, merancang meningkatkan pengangkutan awam dengan menambah tahap penggunaan pengangkutan awam kepada 40 peratus menjelang 2020.

"Ini sudah pasti mengurangkan kesesakan jalan raya di Kuala Lumpur," katanya.

Sementara itu, Mukhtyar berkata, satu penyelidikan menunjukkan 50 peratus daripada pengguna pengangkutan di Kuala Lumpur lebih suka bertukar kepada kenderaan yang menjimatkan minyak yang menjurus kepada bertambahnya kenderaan mesra alam di Malaysia.

Pada tahun lalu, penjualan kereta hibrid diunjur tumbuh sebanyak 4.2 peratus kepada 16,000 unit berikutan pengecualian cukai dan pelancaran model baharu.

Mukhtyar berkata Frost and Sullivan yakin penjualan kereta hibrid akan terus meningkat pada masa depan.

"Perkembangan ini sudah pasti akan memacu model perniagaan mobiliti baharu seperti kelab perkongsian kereta yang menawarkan kemudahan pengangkutan kereta mesra alam hasil daripada pelaburan yang semakin meningkat untuk sistem pengangkutan awam," katanya. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain