suria

Agong Terima Watikah Pelantikan Duta, Pesuruhjaya Tinggi Asing

KUALA LUMPUR: Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah pada Selasa berkenan menerima watikah pelantikan empat duta besar dan pesuruhjaya tinggi asing di Malaysia di Istana Negara di sini.

Empat wakil asing itu ialah Essa Mohammed Al-Mannai dari Qatar, Ugur Dogan (Turki), T.S Tirumurti (India) dan Dr Niranjan Man Singh Basnyat dari Nepal.

Tuanku Abdul Halim dan Raja Permaisuri Agong Tuanku Hajah Haminah kemudian menerima menghadap keempat-empat ketua perwakilan asing itu.

Yang turut hadir Timbalan Menteri Luar Datuk Hamzah Zainuddin dan Ketua Setiausaha Kementerian Luar Datuk Othman Hashim.

Essa Mohammed, 39, pernah berkhidmat sebagai timbalan ketua misi Kedutaan Qatar di Washington sebelum menjadi pembantu menteri luar Qatar pada 2012.

Dogan, 59, mempunyai pengalaman lebih 20 tahun berkhidmat dalam bidang diplomatik dan merupakan duta negaranya di The Hague, Belanda sejak Ogos 2009 sebelum ke Kuala Lumpur.

Pesuruhjaya Tinggi India ke Malaysia Tirumurti, 51, pula pernah bertugas sebagai setiausaha kedua di Kedutaan India di Mesir serta berpengalaman berkhidmat di Kedutaan India di Washington dan Jakarta.

Wakil Nepal Dr Niranjan Man, 58, yang pertama kali dilantik sebagai duta merupakan lulusan doktor falsafah dalam bidang hubungan antarabangsa dan diplomasi.

Beliau berkhidmat sebagai ketua protokol di Kementerian Luar Nepal sebelum pelantikan baharu ini.

Terdahulu Tuanku Abdul Halim turut berkenan menyerahkan watikah pelantikan kepada sembilan anggota perwakilan Malaysia ke luar negara.

Mereka ialah Datuk Ahmad Rasidi Hazizi yang akan menjadi Duta Besar Malaysia ke United Kingdom, Amran Mohamed Zin (Turki), Datuk Mohd Zulkephli Mohd Noor (Switzerland), Kennedy Jawan (Sepanyol), Norman Muhamad (Turkmmenistan), Datuk Hidayat Abdul Hamid (Kazakhstan), Nadzirah Osman (Republik Czech), Sharrina Abdullah (Senegal) dan Lim Juay Jin bakal Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Nigeria. - BERNAMA

Artikel Lain