suria

ATM Kenal Pasti Pangkalan Haram Utama Kemasukan Pati Di Rantau Panjang

KUALA KRAI: Angkatan Tentera Malaysia (ATM) mengesan tiga kes kemasukan pendatang asing tanpa izin melalui sebuah pangkalan haram di Rantau Panjang yang dipercayai menjadi laluan utama pendatang asing ke negara ini.

Panglima Briged Kelapan Infantri, Brig Jen Datuk Mohamad Zaki Hamzah berkata, kes itu dikesan pada minggu pertama tahun ini.

"Oleh itu, kawalan di kawasan berkenaan akan terus diperhebatkan bagi mengawal kemasukan mereka serta menangani segala aktiviti penyeludupan selain beberapa pangkalan haram yang lain," katanya.

Mohamad Zaki bercakap kepada pemberita selepas Majlis Penyerahan dan Penyampaian Kunci Rumah Veteran di Kampung Bendang Jambu, Telekong di sini, Isnin.

Pada majlis itu, beliau telah menyerahkan kunci rumah kepada seorang bekas anggota tentera, Muhammad Mat Yunus, 59, yang dipilih berdasarkan taraf ekonomi anggota terbabit.

"Pemberian rumah kepada pesara tentera ini bagi mengenang jasa serta pengorbanannya selain keprihatinan kerajaan terhadap golongan kurang berkemampuan," katanya.

Ketika ditanya mengenai tahap keselamatan di negara jiran, Mohamad Zaki berkata, tiada sebarang masalah memandangkan keadaan di sempadan Malaysia-Thailand berada dalam keadaan terkawal.

"Kita tidak ada masalah untuk keluar masuk di sempadan Malaysia-Thailand namun orang ramai dinasihatkan supaya menggunakan laluan sah," katanya. - BERNAMA

Artikel Lain