suria

22 Ekor Lembu Mati Dipanah Petir Di Melaka

ALOR GAJAH: Tiga orang penternak kerugian kira-kira RM45,000 apabila 22 ekor lembu mereka ditemui mati bergelimpangan di dalam kandang dipercayai akibat disambar petir di Kampung Ramuan Cina.

Sabaruddin Abd Majid, 54, berkata beliau menyedari kejadian itu ketika hendak melepaskan 46 ekor lembunya dari dalam kandang kira-kira pukul 7.30 pagi Selasa.

"Pada mulanya saya fikir semua lembu tersebut sedang tidur di bawah pokok buluh dalam kandang. Namun saya terkejut apabila melihat 22 daripadanya terbaring dan perut mereka kembung," katanya kepada pemberita.

Beliau berkata beliau yang mengesyaki kejadian tersebut akibat perbuatan khianat telah memaklumkannya kepada dua lagi rakan penternaknya sebelum membuat laporan di Balai Polis Lubok China pada pukul 11.45 pagi Selasa.

Bagaimanapun pihak polis memaklumkan bahawa lembu yang bernilai antara RM1,000 hingga RM3,500 seekor itu dipercayai dipanah petir ketika hujan lebat kira-kira 8.45 malam Isnin, katanya.

Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Supt Mohamad Laham berkata siasatan polis mendapati 22 ekor lembu terbabit mati akibat dipanah petir berdasarkan terdapat kesan panahan petir pada pokok buluh di dalam kandang. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain