suria

Kalimah Allah: Panel MKPN Berdepan Ujian Getir Pertama

PETALING JAYA: Mencari jalan penyelesaian mengenai isu penggunaan kalimah 'Allah' oleh penganut Kristian dan rampasan bible oleh Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) akan menjadi ujian besar pertama untuk Majlis Konsultasi Perpaduan Negara (MKPN) yang akan bermesyuarat pada Isnin.

Walaupun isu tersebut bukan dalam agenda rasmi mesyuarat itu, ahli-ahlinya dijangka menjadikan ia sebagai topik utama.

Timbalan Pengerusi MKPN, Tan Sri Lee Lam Thye berkata, isu tersebut tidak tersenarai dalam agenda kerana persediaan untuk mesyuarat pertama itu dibuat sebelum perkembangan terkini mengenainya.

"Saya telah bercakap dengan pengerusi MKPN, Tan Sri Samsudin Osman yang turut bersetuju untuk membenarkan perbincangan mengenai isu tersebut. Kami percaya ia perlu kerana perkara itu memberi implikasi penting terhadap perpaduan negara," kata Lee.

Beliau berkata majlis itu akan melihat dari pelbagai sudut untuk mencari jalan penyelesaian bagi menangani isu tersebut dengan cara yang sesuai.

"Kita harus ingat kepentingan keharmonian beragama dan impak isu tersebut kepada perpaduan negara," katanya.

Lee berkata majlis tersebut ditugaskan untuk merangka pelan tindakan perpaduan negara dan tidak menolak ahli-ahlinya akan bersuara lantang dan berani.

"Tugas kami amat sukar dan mencabar. Terdapat tanggapan negatif terhadap majlis ini sejak awal penubuhannya dan pelbagai usaha perlu dilakukan untuk menangkis persepsi sedemikian," katanya.

Lee berkata, salah satu kertas kerja yang dibincangkan adalah mengadakan dialog untuk mendekati rakyat dan mendengar luahan mereka terutamanya mengenai isu-isu kritikal.

"MPPN harus bersedia untuk menjadi berani dalam menangani isu-isu perpecahan dan menumpukan perhatian terhadap isu yang membimbangkan serta mengecewakan semua rakyat Malaysia tanpa mengira kaum dan agama," katanya.

Ahli panel MKPN, Datin Paduka Marina Mahathir berkata, ia merupakan satu ujian bagi ahli majlis tersebut untuk memastikan sama ada penubuhan MKPN akan berjaya.

"Ia adalah tugas besar. Saya berharap, kami boleh melakukan sesuatu untuk menjayakannya. Kerajaan tidak boleh membenarkan ia diteruskan atau situasi akan menjadi lebih buruk lagi," katanya.

Marina berkata, ahli majlis tersebut perlu mempunyai kredibiliti dan bersikap serius.

Katanya, tugas majlis tersebut adalah merangka pelan tindakan perpaduan negara dan tidak mempunyai kuasa tetapi kerajaan ada kuasa untuk melakukan perkara yang betul.

Ketika perasmian MKPN pada 23 November lalu, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, ia adalah sebahagian daripada komitmen kerajaan untuk memastikan perpaduan kaum terus teguh.

Pada 14 Disember lalu, Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah bertitah bahawa semua rakyat di negeri itu perlu mematuhi larangan penggunaan kalimah 'Allah' di kalangan bukan Islam di bawah Enakmen Agama Bukan Islam Selangor (Kawalan Penyebaran Kepada Umat Islam) 1988.

Pada 27 Disember lalu, Pengarang The Herald, Paderi Lawrence Andrew, berkata semua gereja di Selangor akan terus menggunakan kalimah Allah dalam perhimpunan mingguannya walaupun Jais telah menghantar surat peringatan berhubung perkara itu.

Pada Khamis lalu, pegawai penguatkuasa Jais menyerbu premis Persatuan Bible Malaysia (PBM) di Damansara Kim dan merampas kira-kira 350 salinan bible dan penerbitan Kristian yang didakwa melanggar Enakmen 1988.

Artikel Lain