suria

Adun Jerteh Dilantik Sebagai Exco

Muhammad Pehimi Yusof
Muhammad Pehimi Yusof
Muhammad Pehimi Yusof

KUALA TERENGGANU: Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) kawasan Jerteh Muhammad Pehimi Yusof pada Khamis dilantik sebagai anggota Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Terengganu (Exco) yang baharu.

Istiadat pelantikan dan majlis angkat sumpah berlangsung di hadapan Sultan Terengganu Sultan Mizan Zainal Abidin di Istana Syarqiyyah di sini.

Turut hadir Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Ahmad Said, Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Jailani Johari dan Speaker Dewan Undangan Negeri Terengganu Mohd Zubir Embong.

Muhammad Pehimi ketika ditemui pemberita selepas majlis angkat sumpah itu melahirkan rasa terharu di atas pelantikan itu dan merupakan amanah yang perlu dipikul dengan sebaik mungkin demi kepentingan rakyat Terengganu.

"Bagaimanapun buat masa ini saya masih belum diberitahu tentang portfolio berkait dengan bidang tugas yang akan dijalankan. Saya difahamkan akan dimaklumkan mengenai bidang tugas itu selepas mesyuarat Exco yang akan diadakan kelak," katanya.

Sebelum pelantikan itu Muhammad Pehimi yang berkelulusan Diploma Pertanian, merupakan Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Asas Tani negeri Terengganu. Ketika ini Terengganu tidak mempunyai Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Perpaduan dan Hal Ehwal Pengguna Negeri setelah penyandangnya Allahyarham Dr A Rahman Mokhtar, Adun Kuala Besut, meninggal dunia 26 Jun lepas. -BERNAMA

Artikel Lain