suria

565, 157 Kad Pengenalan Dilapor Hilang Sehingga 31 Oktober Tahun Ini

KUALA LUMPUR: Sebanyak 565,157 kad pengenalan Malaysia dilaporkan hilang sehingga 31 Oktober tahun ini, kata Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar.

Katanya kes kehilangan itu semakin bertambah dengan 397,079 kad pengenalan dilaporkan hilang pada 2010, sebanyak 413,068 kad pada 2011 dan 429,137 kad pada 2012.

Beliau tidak menafikan ada kad pengenalan yang hilang itu telah diseleweng dan digunakan oleh pendatang asing tanpa izin.

"Kementerian tidak menolak bahawa ada kad milikan orang lain digunakan oleh warga asing setelah diselewengkan daripada kad-kad yang hilang disebabkan kecuaian, kad yang diragut dan dicuri... mungkin juga dijual kepada sindiket oleh masyarakat yang tidak bertanggungjawab," katanya menjawab soalan tambahan Datuk Dr Makin@Marcus Mojigoh (BN-Putatan) pada persidangan Dewan Rakyat di sini, Rabu.

Beliau berkata bagi menangani masalah kehilangan kad pengenalan, kementerian juga merangka garis panduan baharu meliputi langkah perundangan dan pencegahan.

"Ia akan dimuktamadkan dengan segera sebaik sahaja menerima pandangan perundangan daripada pihak Peguam Negara," kata Wan Junaidi.

Semasa menjawab soalan Lee Boon Chye (PKR-Gopeng), beliau berkata dalam Ops Cantas polis dari 17 Ogos hingga 20 Nov lepas, sebanyak 87,1526 orang telah diperiksa dan daripada jumlah itu, sebanyak 32,174 orang ditangkap dan 951 senjata api dirampas.

Daripada jumlah yang telah ditangkap, sebanyak 13,789 orang terdiri Melayu dengan 13,119 lelaki dan 590 wanita, Cina 3,809 orang dengan 3,609 lelaki dan 200 wanita dan India 7,263 orang dengan 7,139 daripadanya adalah lelaki dan 124 wanita.

"Lain-lain kaum adalah 7,313 orang iaitu 6,145 lelaki dan 1,168 wanita," katanya.

Beliau berkata kejayaan ketara ialah penurunan jenayah indeks terutama kes yang melibatkan jenayah kekerasan seperti bunuh menurun hampir 23 peratus daripada 187 kes kepada 144 kes dalam tempoh 96 hari Ops Cantas dijalankan. -BERNAMA

Artikel Lain