suria

Wong Chun Wai Dilantik CEO The Star, June Wong Ketua Editor Kumpulan Yang Baru

Wong Chun Wai
Wong Chun Wai
Wong Chun Wai

KUALA LUMPUR: Star Publications (M) Berhad pada Rabu mengumumkan pelantikan Datuk Seri Wong Chun Wai sebagai pengarah urusan kumpulan/ ketua pegawai eksekutif (CEO) manakala June HL Wong sebagai ketua editor kumpulan.

Chun Wai, yang telah dilantik sebagai pemangku ketua pegawai eksekutif kumpulan pada 1 Ogos 2013 telah disahkan jawatan beliau berikutan mesyuarat lembaga pengarah pada Rabu.

Beliau merupakan wartawan berusia 52 tahun yang telah berkhidmat di The Star selama 30 tahun, bermula sebagai seorang wartawan di pejabat biro, Pulau Pinang.

Beliau sebelum ini memegang jawatan sebagai pengarah eksekutif dan ketua pengarang kumpulan.

Chun Wai, graduan sains politik dan sejarah dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) juga mengembangkan kerjayanya dengan menghadiri kursus-kursus kewangan dan kepimpinan di pelbagai universiti di Amerika Syarikat, termasuk Universiti Stanford dan Universiti Southern California yang dianjurkan oleh Pusat Antarabangsa bagi Kepimpinan Dalam Kewangan.

Beliau juga adalah pemenang Anugerah Wartawan Terbaik bagi tahun 2003 yang dianjurkan oleh Institut Akhbar Malaysia.

Tahun lalu, Chun Wai menjadi rakyat Malaysia pertama yang dipilih ke Forum Editor Dunia yang berpangkalan di Paris.

Beliau juga merupakan ahli lembaga kepada syarikat yang berpusat di Bangkok, Asia News Network, sebuah kumpulan serantau dengan 22 syarikat media.

Beliau adalah ahli Majlis Tadbir Urus Agensi Inovasi Negara di Jabatan Perdana Menteri dan pemegang amanah Pergerakan Kesederhanaan Global.

Sebagai pengarah urusan kumpulan / ketua pegawai eksekutif, beliau akan terus mengukuhkan platform percetakan, radio, televisyen dan digital The Star sebagai sebahagian daripada penumpuan ke dalam sebuah kumpulan bersepadu.

Sementara itu June Wong pula merupakan pemegang Ijazah Sarjana Muda Sastera (Kepujian) dan Diploma Pendidikan dari Universiti Malaya.

Beliau mempunyai pengalaman lebih 30 tahun sebagai wartawan, bermula sebagai seorang wartawan berita yang membuat liputan tentang politik, perumahan, pengangkutan, Dewan Bandar Raya dan Parlimen selama hampir 10 tahun.

Beliau kemudian berpindah ke meja rencana di mana beliau membuat liputan antara lain, mengenai wanita, sosial dan isu-isu hak asasi manusia.

Beliau memainkan peranan penting dalam memulakan atau membina hampir semua bahagian rencana dan bahagian gaya hidup dalam akhbar The Star.

Beliau berkhidmat sebagai editor eksekutif selama enam tahun sebelum dilantik sebagai editor urusan tiga tahun lalu.

June Wong juga mengetuai transformasi jabatan editorial The Star kepada hab kandungan tertumpu untuk Media Group Star.

Artikel Lain