suria

645 Ikuti Program Pengarah Wanita Tahun Ini - Rohani

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rohani Abdul Karim (kiri) menerima cenderahati daripada Pengerusi Penganjur Forum "The Women Extraordinaire 2013", Munirah Looi (kanan) selepas merasmikan Forum "The Women Extraordinaire 2013" di Kuala Lumpur, Rabu. Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Wealth Asia, Elsa Pau. -fotoBERNAMA
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rohani Abdul Karim (kiri) menerima cenderahati daripada Pengerusi Penganjur Forum
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rohani Abdul Karim (kiri) menerima cenderahati daripada Pengerusi Penganjur Forum "The Women Extraordinaire 2013", Munirah Looi (kanan) selepas merasmikan Forum "The Women Extraordinaire 2013" di Kuala Lumpur, Rabu. Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Wealth Asia, Elsa Pau. -fotoBERNAMA

KUALA LUMPUR: Sejumlah 645 wanita mengikuti latihan melalui Program Pengarah Wanita (WPD) anjuran kerajaan tahun ini untuk memenuhi sasaran negara mempunyai jumlah wanita berkelayakan yang mencukupi untuk menjadi pembuat keputusan dalam sektor swasta menjelang 2016.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Rohani Abdul Karim berkata program itu akan melengkapkan wanita dengan kemahiran yang amat diperlukan untuk memainkan peranan sebagai pembuat keputusan.

Katanya projek perintis, yang dilancarkan pada 22 Feb tahun lepas, berjaya melatih 220 wanita.

"Jadi, kementerian merancang untuk melatih 500 wanita lagi untuk melayakkan mereka menduduki kerusi lembaga pengarah dalam badan korporat tahun ini.

"Mereka akan dilatih melalui satu kurikulum yang disusun khas, termasuk penilaian kesiapsediaan menduduki kerusi lembaga pengarah secara dalam talian yang komprehensif, bimbingan serta latihan teknikal dan kemahiran insani.

"Mereka juga akan menjalani satu latihan simulasi lembaga pengarah untuk membiasakan diri dengan cabaran sebenar apabila menyandang jawatan sebagai anggota lembaga pengarah," kata Rohani dalam ucapan pembukaan 'Women Extraordinaire Forum 2013' di sini Rabu.

Beliau berkata antara Januari dan November tahun ini, terdapat 834 penempatan melibatkan pengarah wanita dalam lembaga pengarah syarikat senaraian awam.

"Sehingga November, 790 wanita mendaftarkan diri di bawah program ini. Program Pengarah Wanita memberi banyak manfaat kepada wanita iaitu melalui dasar yang diperkenalkan kerajaan untuk memupuk kepelbagaian gender, tanpa menafikan hak lelaki," katanya.

Rohani berkata kerajaan percaya wanita seharusnya mampu menterjemahkan pendidikan mereka kepada kerjaya yang berjaya dan kekal, termasuk maju sebagai pemimpin.

Sebagai contoh, kata beliau jumlah wanita yang mendaftar diri untuk mengikuti pengajian peringkat ijazah pertama sentiasa tekal pada kadar lebih 62 peratus sejak 2009.

Artikel Lain