suria

Jabatan Imigresen P.Pinang Tahan 11 Warga Asing Termasuk Pondan

BUTTERWORTH: Jabatan Imigresen Pulau Pinang menahan 11 warga asing membabitkan 10 wanita dan seorang pondan dalam Ops Bersepadu 6P di lima rumah urut dan hotel bajet di sekitar negeri ini, Selasa.

Ketua Bahagian Penguatkuasaan Jabatan Imigresen Pulau Pinang Basri Othman berkata dalam pemeriksaan yang dijalankan bermula 7 malam hingga 10 malam itu, pihaknya menahan seorang wanita warga Indonesia dan lima wanita warga Thailand serta seorang pondan juga warga Thailand.

Katanya mereka yang ditahan itu dipercayai bekerja sebagai tukang urut serta turut menawarkan khidmat seks kepada pelanggan di premis terbabit.

"Dalam pemeriksaan di sebuah hotel bajet di Georgetown pada 1 pagi, tiga wanita Vietnam dan seorang lagi dari China turut ditahan.

"Mereka juga dipercayai menawarkan khidmat seks dan menjadikan hotel bajet terbabit sebagai 'sarang' untuk mengadakan hubungan seks dengan pelanggan," katanya kepada pemberita di sini Rabu.

Katanya ada pusat urut yang diperiksa itu didapati beroperasi secara haram dan difahamkan mereka menawarkan khidmat urut dengan kadar bayaran RM50 hingga RM80 sejam.

Basri berkata pihaknya menjalankan intipan dan penyamaran sejak seminggu lepas sebelum mengenal pasti kehadiran wanita warga asing terbabit serta kegiatan mereka. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain