suria

2,445 Individu Ditahan Menerusi Ops Cantas Khas di Johor

JOHOR BAHARU: Polis menahan 2,445 individu di seluruh negeri Johor menerusi Ops Cantas Khas sejak pelancaran 17 Ogos lepas sehingga kini.

Ketua Polis Johor Datuk Mohd Mokhtar Mohd Shariff berkata mereka merupakan sebahagian daripada 120,320 individu yang diperiksa dalam tempoh berkenaan.

"Daripada 2,445 individu terbabit, 1,394 ialah Melayu, 445 Cina, 301 India manakala 305 lagi lain-lain kaum," katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor, di sini, Selasa.

Mohd Mokhtar berkata daripada jumlah itu juga sebanyak 1,270 orang terlibat kesalahan jenayah, 26 kerana jenayah komersial, narkotik (1,080) manakala 69 lagi dikehendaki polis.

Beliau berkata 747 daripada mereka sudah dituduh di mahkamah dengan 430 orang menghadapi pertuduhan jenayah manakala 317 lagi berkaitan narkotik.

Katanya enam senjata api tiruan, tiga senapang angin, sepucuk pistol serta 121 senjata lain termasuk pedang samurai, pisau, kapak, gergaji, besi tajam dan buku lima turut dirampas menerusi operasi itu.

"Polis turut memeriksa 68,834 kenderaan pelbagai jenis dalam tempoh operasi terbabit dan hasilnya sebanyak 157 kenderaan bersabit laporan kehilangan telah dirampas yang melibatkan 87 motosikal, kereta (62), lori (5) manakala van (3)," katanya.

Terdahulu, Mohd Mokhtar dan Timbalannya Datuk Ismail Yatim menyaksikan majlis serah terima tugas antara pemangku Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Johor ACP Azizan Anan dan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Johor yang baharu, Datuk Hasnan Hassan.

Hasnan, 54, sebelum ini pernah berkhidmat sebagai Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor sebelum ditukar ke Bukit Aman sebagai Ketua Penolong Pengarah Bahagian Kongsi Gelap, Perjudian dan Maksiat (D7).

-BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

14 Bahagian Kedah Sokong Soi Lek

Artikel Lain