suria

503 Daripada 659 Kes Pemerdagangan Orang Didakwa Di Mahkamah

KUALA LUMPUR: Minit mesyuarat Majlis Antipemerdagangan Orang (MAPO) sehingga Disember 2012 merekodkan 503 daripada 659 kes disiasat mengikut Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (AOAM) 2007, telah dibawa ke mahkamah untuk pendakwaan.

Daripada jumlah itu, sebanyak 277 kes sedang dibicara, 226 kes telah diambil tindakan mahkamah, 112 kes disabitkan, 88 kes dilepaskan dan 26 kes dilepaskan tanpa dibebaskan.

Bilangan orang dituduh pula ialah seramai 330 orang, menurut Laporan Ketua Audit Negara 2012 yang dibentangkan di Dewan Rakyat, Selasa.

Menurut laporan itu, MAPO juga telah menyelamatkan 3,363 mangsa dan diberikan Perintah Perlindungan Sementara.

Audit berpendapat usaha perlu dilakukan untuk menempatkan Malaysia dalam kedudukan lebih baik daripada "Tahap 2 Senarai Pemerhatian" mengikut pencapaian laporan Pemerdagangan Manusia yang dikeluarkan Jabatan Negara Amerika Syarikat.

Selain itu, Audit mendapati penguatkuasaan AOAM tidak mencapai prestasi pelaksanaan yang diharapkan berikutan pertambahan tugas hakiki pegawai penguatkuasa dan kekangan peruntukan untuk melaksanakan aktiviti penguatkuasaan.

Rumah perlindungan mangsa juga masih berkurangan dan dalam kedudukan yang tidak strategik manakala pegawai penguatkuasa perlu meningkatkan pemahaman mengenai AOAM.

Bagi isu pemerdagangan buruh, Audit mendapati sesetengah majikan di Malaysia tidak membayar gaji pembantu rumah selama tiga hingga enam bulan sebagai ganti kepada kos yang dibayar kepada agensi pengambilan pekerja asing.

"Ini menjadikan pekerja asing mudah terdedah kepada risiko aktiviti pemerdagangan," menurut laporan itu.

Setakat September 2012, semakan Audit terhadap data pekerja asing Jabatan Imigresen menunjukkan terdapat 1.58 juta pekerja asing dari semua sektor pekerjaan berdaftar di Malaysia, dengan anggaran 1.9 juta orang lagi pekerja asing tidak mempunyai dokumen.

Audit juga mendapati ramai pesalah pemerdagangan manusia di Malaysia adalah ahli perniagaan dengan beberapa pemerdagangan warga asing di negara ini didalangi sindiket jenayah terancang yang besar.

Laporan itu juga menyatakan pelaksanaan program Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran di negara ini didapati kurang memuaskan daripada beberapa aspek termasuk pelaksanaan mekanisme perundangan dan perlindungan mangsa.

Menurutnya walaupun kerajaan telah mendakwa dan menghukum pesalah pemerdagangan seks, namun ia tidak menunjukkan kemajuan dalam usaha menghukum mereka yang mengeksploitasikan orang lain sebagai buruh.

Namun, penelitian Audit terhadap semua maklumat dan fakta menunjukkan kesungguhan kerajaan dalam usaha mengatasi masalah yang melibatkan isu perburuhan dan bertanggungjawab menangani isu pemerdagangan buruh.

Justeru, Audit mengesyorkan beberapa cadangan termasuk Jabatan Peguam Negara perlu terus berusaha memperbaiki perundangan yang melibatkan peraturan yang memberi kesan kepada kelancaran penguatkuasaan akta dan Jawatankuasa Perundangan boleh mempertimbang untuk meminda AOAM bagi hukuman mandatori terhadap kesalahan memperdagang orang.

Kerajaan juga perlu menimbang penubuhan badan atau unit khas dengan perjawatan khusus untuk menangani masalah pemerdagangan orang dan kerajaan perlu meningkatkan infrastruktur dan bilangan rumah perlindungan di lokasi strategik. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

14 Bahagian Kedah Sokong Soi Lek

Artikel Lain