KOTA BAHARU: Polis Kelantan pada Isnin menahan tiga lelaki termasuk seorang pemuda berusia 19 tahun bagi membantu siasatan kes tembakan di Kampung Kemasin, Bachok pada Februari lepas.
Timbalan Ketua Polis Kelantan Datuk Mazlan Lazim berkata mereka ditahan dalam serbuan di sebuah rumah di Kampung Telaga Mas, Rantau Panjang, Pasir Mas pada 5.45 pagi Isnin.
Ketiga-tiga suspek itu direman tujuh hari bermula hari ini bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh, katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan di sini.
Dalam kejadian 15 Februari itu, seorang lelaki berusia 50-an mati ditembak dan ditetak dua lelaki ketika bersarapan bersama keluarganya di sebuah warung di Kampung Kemasin.
Mazlan berkata pihaknya sedang memburu lelaki bernama Hatim Mohd Zin, 24, yang beralamat di Kampung Padang Lati, Bekelam, Bachok untuk membantu siasatan kes itu. - BERNAMA


