suria

1,911 Ditahan Dalam Ops Cantas Narkotik Di Seluruh Negara

KUALA LUMPUR: Seramai 1,911 orang ditahan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman dalam Ops Cantas Narkotik selama tiga hari bermula Jumaat lepas di seluruh negara.

Pengarah JSJN Datuk Noor Rashid Ibrahim hari ini berkata daripada jumlah itu, sebanyak 1,772 kes telah dibuka termasuk 26 kes mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya.

Polis turut merampas pelbagai jenis dadah daripada operasi itu iaitu heroin sebanyak 10,410.41 gram, syabu (6,793.35 gram), ganja (778.91 gram) dan Erimin 5 (1,097 biji).

Dalam operasi itu, katanya, polis turut menangkap 30 anggota kongsi gelap terdiri daripada kumpulan Geng 04, Geng 08, Geng 555, Geng Raj dan Geng 18 yang dipercayai turut terlibat dalam aktiviti pengedaran dadah.

"Polis tidak menolak kemungkinan mereka turut terlibat dalam pengedaran senjata api berikutan penemuan senjata itu di Perak, Pulau Pinang dan Kedah ketika melakukan serbuan di makmal memproses dadah," katanya pada sidang media di ibu pejabat Polis Bukit Aman di sini.

Dalam operasi itu di Pulau Pinang, beliau berkata polis turut merampas sebutir bom tangan dan 20 butir peluru manakala di Perak, polis merampas 24 butir peluru .38 SPL bersama rampasan dadah.

Noor Rasid berkata operasi itu dirancang berdasarkan maklumat risikan dan orang awam serta mengesan dan menjalankan pemeriksaan terperinci ke atas individu serta sindiket pengedaran dadah yang dikenal pasti.

Sementara itu, katanya, sehingga tempoh Januari hingga Julai tahun ini, JSJ Ntelah merampas dadah pelbagai jenis dianggarkan bernilai RM185.71 juta seberat 5.35 tan daripada 100,649 tangkapan di seluruh negara.

Antaranya ialah daun ketum seberat 2405 kg, pil ecstasy (576kg), heroin (524 kg), ganja (475 kg), syabu (398 kg) dan ketamin (88 kg).

Di PULAU PINANG, seramai 63 individu ditahan daripada 2,429 yang diperiksa kerana dipercayai terlibat dalam pelbagai kegiatan jenayah kekerasan di negeri ini dalam Ops Cantas sejak 17 Ogos lepas sehingga semalam.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Pulau Pinang SAC Mazlan Kesah berkata daripada jumlah itu, tiga daripadanya mereka yang berusia 22 hingga 33 tahun adalah bekas banduan di bawah Ordinan Darurat.

Susulan penahanan kesemua suspek, polis turut merampas senjata dan peralatan dipercayai digunakan untuk tujuan jenayah antaranya tiga pucuk pistol, enam parang, lima pedang samurai, 20 butir peluru, sebutir bom, rotan dan besi pemukul, katanya dalam kenyataan di sini.

Di SABAH, polis menahan 73 individu atas pelbagai kesalahan dalam 251 serbuan yang dilakukan di negeri itu sejak Ops Cantas dilaksanakan.

Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Hamza Taib berkata seramai 829 orang telah diperiksa selain polis turut menemui lapan bilah senjata berbahaya.

Di PAHANG, seramai lima orang ditahan termasuk dua anggota kumpulan kongsi gelap Geng 08 dan sepasang suami isteri yang terlibat dalam pengedaran dadah di dua lokasi, Ahad.

Ketua Polis Pahang, Datuk Sharifuddin Abdul Ghani berkata suspek berusia 20 hingga 30 tahun itu ditahan di Kuantan dan Temerloh, dan hasil serbuan itu, polis merampas 9,261.6 gram dadah heroin dianggarkan bernilai RM268,586 serta dua buah kereta digunakan suspek.

Suspek kelima ditahan ketika bersama dua anggota kumpulan kongsi gelap Geng 08, katanya.

Di SELANGOR, tiga bersaudara termasuk remaja berumur 14 tahun dan bapa saudaranya berumur 18 tahun ditahan dalam Ops Cantas Narkotik yang dilakukan di sekitar Sekinchan di sini, awal pagi Ahad.

Ketua Polis Daerah Sabak Bernam, Supt Noor Mushar Mohamad berkata kesemua suspek ditahan dalam serbuan di sebuah rumah pada puku; 3 pagi.

Beliau berkata ketika serbuan, pelajar tingkatan dua di sebuah sekolah di daerah ini sedang asyik membungkus bekalan dadah bersama bapa saudaranya di ruang tamu rumah itu.

Pemeriksaan lanjut di dalam rumah itu menjumpai dadah jenis heroin seberat 38.2 gram yang disorokkan di dalam tong sampah di dapur.

Beliau berkata pemeriksaan lanjut di rumah itu mendapati seorang lelaki berusia 48 tahun sedang tidur di dalam sebuah bilik. - BERNAMA

Artikel Lain