suria

Suami Azar Azmi mohon kurangkan wang jaminan, perlukan duit jalani rawatan

Suami Azar (dua dari kanan) memohon wang jaminan dikurangkan atas faktor kesihatan.

SUAMI kepada pelakon Azar Azmi iaitu Mohd Apri Hazreen Mohd Sapri memohon kepada mahkamah agar jumlah wang jaminan yang dikenakan terhadapnya dikurangkan berikutan keadaan kesihatannya serta tanggungjawab terhadap anak-anak.

Permohonan itu dibuat dalam prosiding sebutan semula kes di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen Seremban, Mohamad Kamil Nizam.

Dalam keterangannya, tertuduh yang dilihat berjalan dalam keadaan terhencut-hencut memaklumkan bahawa dia baharu sahaja keluar dari hospital dan memerlukan perbelanjaan besar untuk rawatan lanjut.

Memetik laporan Sinar Harian, Mohd Apri Hazreen turut menyatakan dia perlu menjalani beberapa prosedur perubatan termasuk ekokardiogram dan angiogram, dengan anggaran kos antara RM9,000 hingga RM10,000.

Nama Azar kembali menjadi sebutan apabila suaminya mencetus kontroversi.

Tertuduh turut memaklumkan perlu menyediakan perbelanjaan harian bagi anak-anaknya yang kini tidak mempunyai pihak lain untuk menanggung keperluan tersebut.

Selain itu, Mohd Apri Hazreen turut menjelaskan bahawa dia baharu menjalani pembedahan berkaitan penyakit gout dan memohon sedikit masa untuk melantik peguam bagi kes berkenaan.

Pada masa sama, tertuduh memberi jaminan akan mematuhi semua syarat yang ditetapkan oleh mahkamah.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya, Nadia Ezzati Mohd Zainal, membantah permohonan tersebut dan memohon agar jumlah jaminan asal dikekalkan.

ARTIKEL BERKAITAN: Azar Azmi buka cerita peribadi, punca ‘hilang’ daripada industri… Berdepan pengalaman paling teruk dalam hidup

ARTIKEL BERKAITAN: Enam tahun Abiejam cari Azar Azmi, nak tuntut hutang RM15,000

Menurutnya, kes ini melibatkan jenayah komersial yang serius serta kepentingan awam perlu diutamakan.

Malah, pihak pembelaan juga didakwa gagal mengemukakan sebarang dokumen perubatan bagi menyokong dakwaan masalah kesihatan tertuduh.

Selepas mempertimbangkan hujah kedua-dua pihak, mahkamah memutuskan untuk mengurangkan jumlah jaminan daripada RM25,000 kepada RM21,000, namun mengekalkan syarat-syarat tambahan yang telah ditetapkan sebelum ini.

Mahkamah menetapkan 20 Mei depan sebagai tarikh sebutan semula kes bagi memberi ruang kepada tertuduh melantik peguam bagi kedua-dua pertuduhan.

Sebelum ini, tertuduh mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan menipu berkaitan urusan penjualan tanah kurniaan yang tidak wujud sehingga menyebabkan kerugian lebih RM200,000 pada tahun lalu.

Berdasarkan pertuduhan, tertuduh didakwa memperdaya seorang lelaki berusia 56 tahun dengan mendorong mangsa membuat bayaran berjumlah RM270,811 melalui transaksi dalam talian ke akaun milik seorang wanita berusia 35 tahun. 

Azar sebelum ini berkongsi penderitaan yang ditanggung bersama suami.

Bayaran tersebut kononnya untuk mendapatkan tanah kurniaan negeri Selangor yang sebenarnya tidak wujud.

Kesalahan itu didakwa berlaku antara 2 April 2025 hingga 13 November 2025 di sebuah bank dalam daerah berkenaan.

Dalam pertuduhan berasingan, tertuduh juga didakwa menipu seorang lelaki berusia 49 tahun dengan memperdayakannya membuat bayaran sebanyak RM23,120 bagi mendapatkan darjah kebesaran yang membawa gelaran Datuk, yang juga tidak wujud.

Kedua-dua pertuduhan tersebut dikemukakan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang satu tahun dan sehingga 10 tahun, selain sebatan serta denda jika sabit kesalahan.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

TONTON VIDEO PILIHAN!

Artikel Lain