Karnival Premium MYFutureJobs di KLCC menyediakan peluang pekerjaan buat mereka yang sedang mencari kerja.
FASA menunggu surat tawaran kerja menjadi salah satu tempoh yang mencabar dalam kehidupan pencari kerja, malah ia seakan rutin yang berulang setiap hari dengan penuh harapan dan debaran.Ada yang saban waktu memeriksa e-mel, menyemak mesej telefon dan menjawab panggilan tidak dikenali dengan harapan ia membawa khabar gembira yang dinanti-nantikan. Namun realitinya, penantian itu sering berlarutan tanpa kepastian, sekali gus mencetuskan rasa gelisah dan tanda tanya mengenai masa depan.Lebih membebankan, situasi ini mendedahkan pencari kerja kepada tekanan kewangan apabila simpanan semakin menyusut.Dalam masa sama, tekanan emosi turut memuncak apabila usaha menghantar permohonan demi permohonan masih belum membuahkan hasil.Keadaan ini menjadikan proses mencari kerja satu pengalaman yang meletihkan, bukan sahaja dari segi fizikal tetapi juga mental.Justeru, sudah tiba masanya untuk mengubah strategi dengan mendekati peluang secara lebih proaktif.Oleh itu, pencari kerja boleh mengambil peluang hadir ke Karnival Premium MYFutureJobs 2026 bakal berlangsung di Kuala Lumpur Convention Centre (KLCC) pada 25 dan 26 April ini, dan ia mungkin titik permulaan yang anda cari.Program ini bukan sahaja terbuka kepada mereka yang masih mencari pekerjaan, malah sesuai untuk individu yang sudah bekerja tetapi ingin meneroka laluan kerjaya baharu atau mencari peluang lebih baik di syarikat lain.Pelbagai syarikat terkemuka bakal menyertai karnival ini, menawarkan peluang pekerjaan dengan tawaran gaji bermula RM3,000 hingga RM15,000. Peluang latihan industri serta kerja fleksibel turut disediakan bagi memenuhi keperluan pelbagai peringkat pencari kerja.Karnival ini juga terbuka kepada semua lapisan masyarakat termasuk golongan Orang Kurang Upaya (OKU), selain menawarkan 200 cabutan bertuah kepada pengunjung yang hadir.Antara majikan yang mengambil bahagian termasuk Amanah Raya, Tenaga Nasional Berhad (TNB), Bank Simpanan Nasional (BSN), Hartalega serta Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).Turut serta ialah KPJ Healthcare, Bank Islam, Sunway, Qualitas Health, EON, Focus Point, Avisena, MahSing, SD Guthrie, YTL Cement, UOA Group, Columbia Asia, CIMB, Singtel serta Tan Chong Group.Orang ramai yang berminat boleh mendapatkan maklumat lanjut dengan melayari laman web rasmi di myfuturejobs.gov.my/careerfair.