KERAJAAN bersetuju menaikkan bantuan tunai BUDI Agri-Komoditi dan BUDI Diesel Individu daripada RM300 kepada RM400 sebulan.Kementerian Kewangan (MOF) dalam kenyataan pada Selasa memaklumkan ia akan disalurkan pada 21 April ini. "BUDI Agri-Komoditi dijangka memanfaatkan lebih 200,000 petani dan pekebun kecil dengan dana tambahan sekitar RM20 juta sebulan."BUDI Diesel Individu dijangka memanfaatkan sekitar 150,000 pemilik kenderaan diesel individu di Semenanjung dengan dana tambahan sekitar RM15 juta sebulan," katanya.Kerajaan juga bersetuju menaikkan kadar Insentif Pembajakan kepada Pesawah (IPKP) daripada RM160 kepada RM300 sehektar membabitkan musim penanaman pada tahun ini.Menurut MOF, kenaikan itu membabitkan tambahan dana sekitar RM40 juta dan dijangka memanfaatkan hampir 200,000 pesawah padi yang sebahagiannya bakal memulakan penanaman padi bermula bulan ini."Sebagai bantuan tambahan, tahun lalu juga Kerajaan MADANI memperkenalkan Insentif Penuaian sebanyak RM50 untuk sehektar semusim bagi meringankan beban kenaikan kos input," kata kementerian itu.Menerusi insentif berkenaan, MOF dijangka menanggung subsidi sekitar RM7 bilion untuk April 2026, termasuk dana tambahan RM75 juta untuk ketiga-tiga ikhtiar bantuan diesel.Pada masa sama, Kerajaan Persekutuan turut bersetuju memudahcara pembelian diesel bagi kegunaan selain kenderaan.MOF memaklumkan bahawa syarat keperluan permit khas bagi pembelian melebihi 20 liter akan dilonggarkan.Sehubungan itu, pemilik mesin atau jentera pertanian dibenarkan membeli diesel melebihi had tersebut dengan mengemukakan pendaftaran jentera."Kerajaan akan memperincikan garis panduan pelaksanaan dalam tempoh terdekat," katanya.