suria

Anggota Keluarga Boleh Mohon Untuk Inkues - Nancy

GEORGE TOWN: Anggota keluarga lima geng kongsi gelap yang mati dalam kejadian berbalas tembak dengan polis awal pagi Isnin lepas, boleh memohon untuk mengadakan inkues, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Nancy Shukri.

Beliau berkata sesiapa sahaja mempunyai hak untuk mendapat pembelaan dan kerajaan tidak akan mengetepikan hak mereka untuk membela diri, walaupun membabitkan penjenayah.

"Sekiranya diperlukan untuk mengadakan inkues, (keluarga) boleh mohon. Cuma setakat ini (kes itu) masih dalam siasatan polis. Apabila selesai siasatan polis, baru dikemukakan pada pejabat Peguam Negara selepas itu barulah dapat diteruskan dengan inkues.

"Tapi tak ada masalah (untuk mengadakan inkues) sebab kita telah persetujui setiap negeri ada mahkamah koroner yang akan mengendalikan kes-kes yang memerlukan inkues," katanya kepada pemberita selepas majlis Malam Lagenda Aidil Fitri anjuran Jawatankuasa Peguam Pulau Pinang, di sini malam Sabtu.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas gesaan beberapa pihak yang mahukan satu inkues diadakan bagi membolehkan keluarga lima lelaki berkenaan mengetahui kejadian sebenar kes itu.

Sebelum ini, akhbar melaporkan keluarga lima lelaki berkenaan tidak berpuas hati terhadap tindakan polis yang menembak suspek secara bertubi-tubi dan mendakwa ia tidak mengikut prosedur operasi standard (SOP).

Dalam kejadian awal pagi Isnin lepas, polis menembak mati lima anggota kumpulan kongsi gelap yang dipercayai pembunuh upahan yang dikehendaki polis kerana terbabit dalam kes bunuh dan cubaan bunuh di Pulau Pinang, Kedah dan Negeri Sembilan.

Sementara itu, Nancy berkata penubuhan Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK) sedikit sebanyak membantu orang ramai termasuk tertuduh yang kurang berkemampuan mendapatkan bantuan guaman.

"Pada tahun 2011, kerajaan memperuntukkan geran sebanyak RM5 juta kepada YBGK dan RM10 juta pada tahun berikutnya. Manakala pada tahun ini, RM20 juta disalurkan kepada YBGK. Di situ kita melihat keprihatinan kerajaan untuk membantu mereka yang dituduh menyatakan pendirian mereka," katanya.

Beliau berkata dari Januari hingga 31 Julai tahun ini, sebanyak 21 peratus kes didengar di mahkamah menerusi perkhidmatan YBGK dan beliau yakin sasaran 30 peratus dapat dicapai pada tahun ini.

Dalam perkembangan lain, Nancy berkata rang undang-undang Akta Kebankrapan 1967 (Akta 360) akan dibentang pada persidangan Dewan Rakyat selewat-lewatnya akhir tahun ini.

Jabatan Insolvensi Malaysia kini dalam proses meminda Akta Kebankrapan 1967 (Akta 360) bagi memudahkan individu yang diisytihar bankrap mendapat pelepasan kebankrapan. - BERNAMA

Artikel Lain