suria

Tindakan Tegas Kepada Peniaga Salah Guna Jual Beras Subsidi - KPDNKK

KUALA LUMPUR: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana peniaga yang didapati menjual beras subsidi kepada pihak lain sehingga menjejaskan pengguna.

Menterinya, Datuk Hassan Malek berkata peniaga sewajarnya memanfaatkan kemudahan subsidi yang diberikan kerajaan kerana ia adalah untuk kepentingan rakyat.

"Jangan menyalahguna kemudahan (subsidi) yang ada kerana ia melibatkan berbilion duit kerajaan," katanya kepada pemberita selepas majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Perbadanan Nasional Berhad (PNS) di sini, Rabu.

Beliau mengulas masalah kekurangan bekalan beras subsidi di beberapa daerah di Sabah termasuk Keningau yang didakwa berpunca daripada peniaga yang menjual beras itu kepada syarikat dan pengusaha restoran untuk mengaut keuntungan yang lebih.

Katanya, pihak yang mempunyai sebarang maklumat berhubung penyalahgunaan penjualan beras subsidi itu perlu membuat laporan segera agar tindakan tegas yang sewajarnya dapat diambil.

Turut hadir pada majlis itu ialah Timbalan Menteri KPDNKK, Datuk Paduka Ahmad Bashah Md Hanipah, Pengerusi PNS, Datuk Idris Hashim dan Ketua Setiausaha KPDNKK, Datuk Saripuddin Kasim. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain