suria

Kadar Minimum Perkhidmatan Kurier Ditetapkan Selewat-Lewatnya 1 Oktober

KUALA LUMPUR: Kadar minimum kos perkhidmatan kurier akan ditetapkan selewat-lewatnya 1 Oktober ini, kata Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Jailani Johari.

Beliau berkata perbincangan berhubung penetapan kadar minimum itu masih berlangsung antara pembekal-pembekal perkhidmatan kurier dan kementerian.

"Syarat ini telah termaktub dalam peraturan perlesenan terbaharu kepada semua syarikat kurier, cuma kadar harga sahaja belum ditetapkan.

"Apabila ditetapkan, semua syarikat perlu mematuhi kadar ini," katanya kepada Bernama selepas melancarkan perkhidmatan 'Mobile Scanner' ABX Express, 'D Smart Klik' di sini, Selasa.

Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif ABX Express, Mohamed Ali Nordin.

Terdapat kira-kira 100 syarikat kurier di seluruh negara pada masa kini, katanya.

Jailani berkata penetapan berkenaan adalah mekanisme kawalan harga inisiatif kementerian bagi melindungi pengguna dan membendung persaingan tidak sihat dalam industri perkhidmatan kurier.

Beberapa inisiatif lain juga dirangka untuk menjadikan perkhidmatan kurier negara lebih berdaya maju termasuk mengadakan mekanisme menggalakkan 'eksport mudah' barangan e-dagang oleh syarikat tempatan ke luar negara melalui perkhidmatan kurier pada harga berpatutan dengan cara yang mudah, katanya.

Beliau berkata berdasarkan Pelan Pembangunan Industri Kurier 2012-2014, kadar penghantaran kurier negara dijangka meningkat tiga kali ganda berbanding 100 juta item setahun pada masa kini serta dijangka mampu mewujudkan 20,000 peluang pekerjaan dalam tempoh tujuh tahun.

"Inisitif lain ialah penetapan standard kemahiran pekerja pos dan kurier yang telah dipersetujui oleh Jabatan Pembangunan Kemahiran di mana mereka ini diletakkan pada satu tahap profesional tertentu kerana kepentingan dan kemahiran serba boleh dalam menjalankan tugasan penghantaran pos dan bungkusan.

"Contohnya dari segi nama panggilan, mereka tidak boleh lagi dipanggil 'posmen' atau 'despatch' sebaliknya syarikat-syarikat ini boleh menukarkannya dengan nama tertentu seperti pengurus pengedaran atau sebagainya," katanya.

Bagi meningkatkan keyakinan pengguna terhadap perkhidmatan kurier, Jailani berkata ia termasuk dalam Akta Perkhidmatan Pos 2012 yang ditetapkan sejak 1 April lepas dalam melindungi kepentingan dan keselamatan barangan pengguna.

"Hukuman yang berat akan dikenakan, sebarang tindakan menyalahi undang-undang pada mana-mana masalah barang-barang pos dan kurier seperti kerosakan dengan denda sehingga RM300,000 dan penjara pada tempoh tertentu," katanya.

Sementara itu, Mohamed Ali berkata, D'Smart Link yang dilancarkan akan dapat meningkatkan mutu khidmat 'track and trace' yang mana ia adalah antara syarat wajib setiap syarikat khidmat pos dan kurier.

"Teknologi imbasan akan membolehkan ABX membuat penjejakan masa sebenar dan perkhidmatan mengesan kepada pelanggannya dengan satu klik sahaja," katanya. - BERNAMA

Artikel Lain