suria

Nazri Akan Terus Kekal Sebagai Nazri

Mohamed Nazri
Mohamed Nazri
Mohamed Nazri

PETALING JAYA: Mereka yang mengharapkan Datuk Seri Nazri Aziz untuk keluar atau menarik diri dalam pemilihan akan datang akan berasa kecewa.

Menteri Pelancongan dan Kebudayaan itu telah berada dalam politik selama 35 tahun dan beliau mempunyai reputasi untuk suaranya didengari.

Pemimpin Umno ini kadang-kadang akan menyuarakan pandangan yang bertentangan dengan pemikiran konvensional, sama ada dalam parti atau kerajaan.

Tetapi Nazri, walaupun dengan kontroversi yang tercetus baru-baru ini selepas beliau melantik anaknya sebagai pegawai khas beliau, dalam satu wawancara baru-baru ini berkata beliau akan terus kekal dengan kelantangannya.

"Jika saya telah melakukan sesuatu yang salah, saya akan memohon maaf tetapi jika saya tahu pendirian saya adalah pendirian yang berprinsip, saya akan pertahankannya, tidak kira apa yang orang katakan tentang saya," kata Nazri.

Insiden itu menambahkannya kemarahan pihak tertentu yang mana sejak bertahun-tahun, telah menuduh beliau bertindak keterlaluan dalam menyuarakan pendapat yang menimbulkan kontroversi.

"Saya mempunyai beberapa tanggungjawab - ahli politik, pekerja sosial, peguam. Tetapi peguam adalah yang pertama, di atas segala-galanya, malah di atas parti politik saya.

"Menegakkan undang-undang adalah perkara paling penting bagi saya dan itulah sebabnya saya lantang bersuara, walaupun ia bertentangan dengan perjuangan parti saya," katanya ketika ditanya mengenai pendapat orang lain mengenai beliau.

Pandangan mengenai beliau di kalangan ahli-ahli Umno dan penyokong juga bercampur-campur.

"Ia adalah prinsip dan tiada perkara peribadi. Saya berdebat dan berhujah dengan fikiran yang jelas," kata Nazri ketika ditanya mengenai kontroversinya dengan bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, tidak lama dulu.

"Apabila saya menjadi menteri yang menjaga hal ehwal Parlimen, saya akan berdebat dengan pembangkang sepanjang masa tetapi saya juga dapat bersama-sama dengan ramai ahli Parlimen mereka kerana mereka tahu ia bukan melibatkan peribadi."

Beliau mengaitkan sikapnya itu dengan sifat bapanya Tan Sri Abdul Aziz Yeop.

Abdul Aziz belajar undang-undang di Britain dan kemudiannya menjadi salah seorang daripada penjawat awam terkemuka di Malaysia, memegang jawatan termasuk sebagai pesuruhjaya tinggi ke Britain dan Setiausaha Agung Kementerian Pelajaran.

"Arwah adalah seorang peguam yang menerapkan dalam diri saya kepentingan mempunyai keyakinan yang kuat dan pendirian serta berprinsip," katanya.

Satu lagi sifat bapanya yang dipuji adalah iman yang kuat dalam masyarakat pelbagai kaum dan budaya.

"Beliau banyak bercampur dengan orang-orang daripada semua kaum dan ini juga membentuk saya menjadi orang yang berkemungkinan akan membuat pertimbangan luar biasa," katanya.

Sama ada suka atau membenci beliau, hakikatnya Nazri bukan baharu dalam politik.

Dilantik sebagai ahli Exco Pemuda Umno pada 1978 apabila hanya beliau sahaja seorang graduan undang-undang yang berusia 24 tahun, Nazri perlahan-lahan mengukuhkan kedudukan dalam barisan parti melalui kerjaya politiknya yang telah menjangkau lebih tiga dekad.

Beliau telah berada di Majlis Tertinggi Umno sejak tahun 1990 dan pada tahun 1993, menjadi Naib Ketua Pemuda Umno.

Bagi kebanyakan penyokong dan rakan-rakan beliau dikenali sebagai "chief" (ketua), satu panggilan yang difikirkannya lebih daripada sekadar nama samaran dan panggilan mesra.

"Apabila saya dilantik sebagai ahli Exco Pemuda Umno pada tahun 1978, saya bukannya Datuk mahupun wakil rakyat, jadi ramai yang tidak tahu apa yang mereka perlu panggil saya.

"Saya dari Kolej Melayu Kuala Kangsar dan saya adalah seorang pemimpin di kalangan sekumpulan rakan-rakan. Sahabat lama saya Datuk Naim Mohamad pernah panggil saya ketua dan entah bagaimana, nama itu melekat. "Bagi saya, apabila seseorang memanggil saya ketua, ia membuatkan orang itu rasa lebih dekat dengan saya," katanya.

Dalam Kabinet, Nazri telah berkhidmat sebagai Menteri Pembangunan Usahawan dari tahun 1999 hingga 2004 dan selepas itu beliau berkhidmat sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri sebelum dilantik sebagai Menteri Pelancongan dan Kebudayaan selepas pilihan raya umum lepas.

Nazri berkata beliau bimbang peristiwa tembakan dan jenayah baru-baru ini yang boleh menakutkan pelancong untuk ke negara ini.

"Pandangan saya adalah bebas kerana saya percaya apa yang betul adalah betul dan apa yang salah adalah salah, jadi saya sentiasa akan memberitahu semua seperti ini," katanya.

Artikel Lain