suria

Muhyiddin Minta Rakyat Hargai Nikmat Kemakmuran

Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin membaca ayat-ayat Al-Quran pada Majlis Tadarus, Khatam Al-Quran dan Berbuka Puasa Umno Bahagian Pagoh di Masjid Jamek Parit Medan, Kundang Ulu Ledang di Muar, pada Sabtu. - FotoBERNAMA

MUAR: Rakyat di negara ini harus bersyukur dan menghargai nikmat kemakmuran, pembangunan serta kemajuan yang dicapai negara sekali gus mengelak ia terjerumus kepada keadaan huru-hara.

Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, rakyat terutama umat Islam harus mengambil iktibar terhadap apa yang berlaku di beberapa negara Islam lain seperti Mesir dan Syria, yang kini porak-peranda kerana tidak menghargai keamanan yang dikecapi selama ini.

"Kita kena hargai segala apa yang telah dilakukan oleh kerajaan, walaupun pembangunan dan kemajuan negara masih belum sempurna tapi ia jauh lebih baik berbanding 20 atau 30 tahun lalu.

"Rakyat seharusnya bersyukur, negara kita kekal aman dan tidak berhadapan dengan pergolakan dan peperangan kerana perbezaan ideologi seperti yang berlaku di beberapa negara Islam," katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis Tadarus, khatam al-Quran dan berbuka puasa UMNO Bahagian Pagoh di Masjid Jamek Parit Medan, Kundang Ulu, di sini, Sabtu.

Majlis turut dihadiri anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Bukit Serampang Ismail Mohamed dan Adun Jorak Datuk Dr Shaharuddin Md Salleh.

Muhyiddin yang juga anggota Parlimen Pagoh berkata, adalah penting keamanan yang dikecapi negara selama ini terus dipertahan untuk memudahkan kerajaan melaksanakan agenda pembangunan negara tanpa sebarang masalah atau rintangan.

"Hubungan dan kerjasama serta perpaduan di kalangan rakyat perlu jitu.

"Janganlah sesekali kita bangkitkan masalah yang boleh timbulkan perpecahan dan permasalahan antara masyarakat sehingga hubungan retak kerana jika dibiarkan ia akan memudaratkan negara," katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau turut meminta Konsulat Malaysia di Mesir agar memantau keselamatan pelajar Malaysia bagi memastikan mereka tidak terperangkap dalam konflik politik di negara berkenaan. "Pastikan keselamatan mereka terkawal setiap masa dan keperluan termasuk makanan sentiasa mencukupi," katanya.

Pada majlis itu, Muhyiddin turut menerima sumbangan daripada Bank Rakyat, Yayasan 1Malaysia Development Berhad (1MDB), Sapura dan Amanah Raya Berhad bernilai RM130,000 untuk diserahkan kepada 334 orang golongan Asnaf di parlimen tersebut. -BERNAMA

Artikel Lain