suria

PRU-13: Calon PAS Baling Nafi Tidak Diterima Pengundi

Datuk Najmi Ahmad (dua dari kanan) diumumkan sebagai calon PAS bagi Parlimen Baling.
 Datuk Najmi Ahmad (dua dari kanan) diumumkan sebagai calon PAS bagi Parlimen Baling.
Datuk Najmi Ahmad (dua dari kanan) diumumkan sebagai calon PAS bagi Parlimen Baling.

BALING: Calon PAS Parlimen Baling, Brigedier Jeneral (B) Datuk Najmi Ahmad menafikan dakwaan bahawa pencalonannya bertanding di kerusi berkenaan mendapat bantahan daripada ahli akar umbi part itu.

Beliau yang juga bekas Pengarah Kor Agama Angkatan Tentera (Kagat) itu turut menolak dakwaan bahawa kehadirannya tidak disenangi oleh pemimpim PAS peringkat kawasan.

"Alhamdulillah, saya tak nampak ada penolakan di sini. Buat masa ini sambutan semuanya baik.

"Saya tak dengar pula ada orang tidak senang dengan saya untuk bertanding di sini," katanya kepada mStar Online di sini, Ahad.

Beliau mengulas mengenai dakwaan yang mengatakan wujud suara-suara di kalangan pemimpin tempatan dan pekerja parti yang tidak berpuas hati dengan calon yang dikemukakan PAS Pusat.

Kumpulan berkenaan dilihat tidak menyenangi pemilihan Najmi yang disifatkan sebagai calon 'payung terjun' tanpa melalui proses saringan PAS kawasan n negeri.

Sebelum ini dilaporkan bahawa Pesuruhjaya PAS Kedah, Datuk Seri Azizan Abdul Razak mendedahkan bahawa nama Najmi sememangnya tiada dalam senarai calon asal yang dikemukakan kepada PAS Pusat.

Menurut Azizan yang juga Menteri Besar Kedah, PAS sudah mempunyai nama calon lain di Parlimen Baling bagi menggantikan penyandang kerusi itu, Datuk Taib Azamudden yang digugurkan daripada bertanding atas faktor kesihatan.

Mengulas lanjut Najmi yang juga adik kepada bekas Naib Presiden PAS, Datuk Nakhaie Ahmad berkata beliau yakin sentimen berkenaan bukan menjadi isu utama.

"Saya yakin ahli dan penyokong PAS faham keputusan PAS Pusat. Saya sebagai calon akan berusaha bagi memenangkan PAS pada pilihan raya nanti," katanya.

Artikel Lain