suria

150 Anggota Dan Penyokong PKR Padang Serai Keluar Parti

KULIM: Timbalan Ketua Cabang PKR Padang Serai Johari Teh bersama 150 anggota dan penyokongnya mengambil keputusan keluar daripada parti itu kerana kecewa dengan sikap pemimpin mereka.

Johari yang menyertai PKR sejak 2004 bersama-sama pengikut dan penyokongnya mengambil keputusan menyertai Umno dengan menubuhkan sebuah cawangan baharu iaitu Umno Cawangan Kampung Beka, Merbau Pulas dalam Bahagian Padang Serai.

Johari menyerahkan borang keahlian Umno kepada Timbalan Ketua UMNO Bahagian Padang Serai Abdul Halim Hasan dalam satu majlis yang dihadiri lebih 300 penduduk tempatan di Kampung Beka, Mukim Padang Meha, Merbau Pulas, dekat sini Jumaat malam.

Majlis penyerahan borang keahlian didahulukan dengan satu majlis tahlil dan bacaan doa selamat yang diadakan penduduk disitu yang turut sama dihadiri beberapa anggota jawatankuasa Umno Bahagian Padang Serai dan beberapa Ketua Cawangan UMNO bersebelahan kampung itu.

Bercakap kepada pemberita kemudian, Johari berkata masih ramai lagi anggota PKR sekitar Parlimen Padang Serai iaitu Sungai Karangan, Kampung Padang dan Taman Bunga Raya yang berhasrat untuk meninggalkan parti itu.

Katanya mereka akan membuka sebuah Bilik Gerakan membantu calon-calon BN yang bertanding di DUN Lunas DUN Merbau Pulas dan Parlimen Padang Serai pada PRU 13 ini.- BERNAMA

Artikel Lain