suria

Jangan Gadai Masa Depan Negara Demi Pembangkang - Ismail Sabri

BERA: Rakyat diingatkan supaya jangan menggadai masa depan negara ekoran terpengaruh dengan janji-janji pembangkang yang ternyata tidak boleh berbuat apa-apa untuk kebaikan rakyat.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata pembangkang yang diberi peluang memerintah beberapa negeri ternyata gagal menjalankan amanah rakyat.

"Pembangkang memang boleh membuat pelbagai janji untuk kepentingan politik mereka tetapi apabila diberi mandat contohnya di Kedah, Selangor, Kelantan dan Pulau Pinang mereka tidak menunaikan janji-janji tersebut. "Ini menyebabkan rakyat di negeri berkenaan terus menghadapi pelbagai masalah dan tertipu seperti masalah air," katanya ketika merasmikan Mesyuarat Agung Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Kebangsaan Charok Puting dekat sini, Jumaat.

Ismail Sabri yang juga anggota Parlimen Bera berkata kerajaan Barisan Nasional (BN) mempunyai keupayaan membantu dan membela rakyat kerana kadar pertumbuhan ekonomi negara semakin berkembang berbanding sesetengah negara.

"Rakyat negara ini bernasib baik mempunyai kerajaan serta pemimpin berwawasan yang terus menyalurkan pelbagai bantuan kepada rakyat seperti Bantuan Rakyat 1Malaysia dan sebagainya," katanya. -BERNAMA

Artikel Lain