suria

Harga Gunting Rambut Naik RM2

PETALING JAYA: Tukang gunting rambut di kalangan masyarakat India di negara ini memutuskan untuk menaikkan harga bagi perkhidmatan menggunting rambut sebanyak RM2 berkuat-kuasa Jumaat.

Presiden Persatuan Pengusaha Jurugaya Rambut India, K. Kaviarasan berkata keputusan sebulat suara itu dibuat pada mesyuarat mereka di sini, Rabu lalu.

Menurut beliau kali terakhir tukang gunting rambut menaikkan harga perkhidmatan mereka adalah 10 tahun lalu.

Jelas Kaviarasan, peningkatan itu disebabkan beberpa faktor termasuk sewa kedai yang lebih tinggi, peningkatan harga untuk peralatan gunting rambut, peningkatan tarif elektrik dan air serta peningkatan gaji pekerja.

"Caj terdahulu sebanyak RM11 untuk memotong rambut dan mencukur dinaikkan kepada RM13 manakala mereka yang sebelum ini mengenakan bayaran sebanyak RM12 boleh naikkan kepada RM14," katanya.

Sementara itu Kaviarasan berkata, caj sebanyak RM9 untuk memotong rambut dan mencukur di Pulau Pinang, Kedah, Perak, Johor, Melaka, Negeri Sembilan dan Pahang akan meningkat kepada RM11.

"Kami percaya kenaikan RM2 tidak akan membebankan pelanggan kerana mereka biasanya datang ke kedai gunting rambut kira-kira sekali sebulan," katanya, sambil menambah bahawa tukang gunting India mengenakan bayaran yang lebih rendah berbanding salun rambut lain.

Beliau berkata persatuan itu akan mempertimbangkan tindakan yang sewajarnya terhadap mereka yang gagal untuk mematuhi keputusan untuk menaikkan harga itu.

Artikel Sebelum

Artikel Lain