suria

Lapangan Terbang Changi Singapura Catat Rekod 51 Juta Penumpang

SINGAPURA: Lapangan Terbang Antarabangsa Changi di sini mencatat jumlah pengendalian penumpang terbesar pada tahun lalu iaitu sebanyak 51.2 juta orang - satu rekod baru dalam tempoh 31 tahun.

"Jumlah itu meningkat sebanyak 10 peratus berbanding tahun 2011," kata pengurusan lapangan terbang itu dalam satu kenyataan pada Khamis.

Ini adalah pertama kali dalam sejarah 31 tahunnya, Lapangan Terbang Antarabangsa Changi mencatat jumlah pengendalian penumpang melepasi angka 50 juta orang.

Rekod sebelum ini dicatat pada tahun 2011 dengan jumlah penumpang mencecah 46.5 juta orang.

Menurut kenyataan itu lagi, sebanyak 7.5 peratus daripada pertambahan itu disumbangkan oleh sektor Singapura-Eropah.

Bagaimanapun, laluan paling sibuk yang dicatatkan oleh lapangan terbang tersebut tahun lalu adalah bagi sektor Singapura-Jakarta-Singapura diikuti oleh Hong Kong, Bangkok, Kuala Lumpur dan Manila.

Sehingga 1 Januari lalu, Changi mengendalikan lebih 6,500 penerbangan berjadual seminggu dengan melibatkan 110 syarikat penerbangan yang menghubungkan Singapura dengan 240 bandar lain di 60 buah negara.

Changi telah diundi sebagai lapangan terbang antarabangsa yang kedua terbaik di dunia oleh Majlis Lapangan Terbang Antarabangsa tahun lalu.

Lapangan Terbang terbaik dunia dimenangi oleh Incheon, Seoul, Korea Selatan. - AFP

Artikel Lain