suria

KTMB Cuba Cipta Rekod Beroperasi 90 Jam Tanpa Henti Sepanjang Sambutan Thaipusam

KUALA LUMPUR: Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMTB) kini berusaha mencipta rekod beroperasi 90 jam tanpa henti perkhidmatan khas komuter ke Batu Caves sempena sambutan Thaipusam bagi melayakkan syarikat itu memahat nama dalam Malaysia Book of Records tahun ini.

Pengurus Besar KTMB Mohd Hider Yusoff berkata selama empat hari tiga malam, perkhidmatan komuter di kesemua laluan beroperasi tanpa henti bermula 25 Jan sempena perayaan itu dan seramai 200 pemandu bekerja dalam tiga jadual waktu bekerja.

"Bagi memenuhi kriteria yang diperlukan oleh Malaysia Book of Records, perkhidmatan komuter dari Pelabuhan Klang, Rawang dan Sungai Gadut ke Batu Caves dan sebaliknya, harus beroperasi dengan lancar," katanya kepada Bernama ketika ditemui di Batu Caves Ahad.

Beliau berkata setiap perjalanan pergi dan balik direkod mulai Jumaat lepas hingga hari terakhir perkhidmatan khas itu esok, dan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) amat diperlukan bagi memenuhi syarat yang ditetapkan.

Mohd Hider berkata seramai 500,000 penumpang menggunakan perkhidmatan itu selama tiga hari beroperasi, dan bilangan tersebut dijangka bertambah pada hari akhir sambutan Thaipusam esok. BERNAMA

Artikel Lain