suria

Muhyiddin Adakan Lawatan Sehari Ke Perak Esok

IPOH: Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin akan mengadakan lawatan kerja sehari ke Perak, Sabtu.

Menurut program yang dikeluarkan Pejabat Timbalan Perdana Menteri, beliau dijadual menghadiri lima program sekitar daerah Batang Padang.

Lawatan Timbalan Perdana Menteri dimulakan pada sebelah pagi dengan majlis perjumpaan tertutup Barisan Nasional negeri Perak di Kompleks Sukan Proton City, Tanjung Malim.

Ia kemudianya disusuli lawatan Muhyiddin ke kilang Proton di Proton City serta akan bersama-sama warga Proton untuk jamuan tengah hari.

Pada sebelah petang, Muhyiddin akan merasmikan mesyuarat agung tahunan Majlis Pendekar Malaysia (MPM) di Dewan Utama, Politeknik Sultan Azlan Shah di Behrang.

Selepas itu, Timbalan Perdana Menteri dijadual menghadiri Majlis Sepetang TPM bersama-sama Persatuan Ibu Bapa dan Guru, Kelab Guru dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) belia negeri Perak di dataran Sekolah Menengah Kebangsaan Bidor di Bidor.

Muhyiddin akan mengakhiri lawatan kerjanya dengan menghadiri Perhimpunan Rakyat 1Malaysia dan makan malam di padang Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) di Tanjung Malim sebelum berlepas pulang ke Kuala Lumpur. - BERNAMA

Artikel Lain