suria

27 Anggota Penyelamat Ditambah Cari Pendaki Hilang

RAUB: Seramai 27 lagi anggota mencari dan menyelamat, termasuk kemudahan dua buah helikopter polis, ditambah hari ini dalam gerakan mencari seorang jurulatih yoga yang hilang semasa mengikuti aktiviti pendakian Gunung Benum di sini, Ahad lepas.

Ketua Polis Daerah Raub Supt Wan Mohd Samsuddin Wan Osman berkata pada mulanya gerakan mencari itu disertai 10 anggota polis, enam anggota bomba, dua pemandu pelancong, penduduk tempatan dan anjing pengesan yang gagal menemui mangsa.

"Gerakan mencari hari ini yang bermula 9.30 pagi diperluaskan sehingga jarak sekitar 4 hingga 5 kilometer sekitar gunung tersebut termasuk kawasan lurah dan kawasan laluan pendakian lain," katanya kepada Bernama di sini, Khamis.

Wanita tersebut, Fong Ai Ting, 32, dari Terengganu adalah sebahagian daripada sekumpulan pendaki dari Kuala Lumpur yang disertai 11 lelaki dan lapan wanita.

Mereka memulakan pendakian gunung itu kira-kira jam 9.30 pagi Ahad lepas bermula di Lata Berembun Jalan Sungai Chalit, Sungai Klau, dekat sini.

Wan Mohd Samsuddin berkata wanita tersebut disedari hilang ketika mereka bergerak turun dari gunung berkenaan pada 9.30 pagi Selasa lepas.

Sehubungan itu, beliau menasihati orang ramai supaya melaporkan kepada pihak berkuasa sebelum melakukan sebarang aktiviti di dalam kawasan hutan. - BERNAMA

Artikel Lain