suria

Amanat Hadi: PAS Tegas Mahu Siaran Langsung Di TV

PETALING JAYA: Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang tidak akan menyertai forum yang bertujuan memberi peluang kepadanya memperjelaskan mengenai amanat mengkafirkan Umno sekiranya ia tidak disiarkan secara langsung menerusi televisyen.

Setiausaha Agung parti itu, Datuk Mustafa Ali berkata, beliau yakin Abdul Hadi tidak akan bersetuju sekiranya permintaan untuk muncul selama satu jam di televisyen gagal dipenuhi kerana dikhuatiri kenyataannya akan dimanipulasikan.

"Beliau mahu siaran langsung. Kalau rakaman kita takut ada suntingan, suara mungkin dipotong dan tidak telus.

"Saya yakin Presiden tetap mahu secara langsung dan beliau juga berkemungkinan sedia menjelaskan semua soalan yang ditimbulkan mengenai isu berkenaan," katanya ketika ditemui di Ibu Pejabat Parti Keadilan Rakyat (PKR) di sini, Rabu.

Beliau berkata demikian ketika mengulas mengenai laporan media bahawa dua mufti tidak setuju dengan cadangan forum khas berkenaan kerana bimbang ia menjadi wadah memenuhi kepentingan peribadi dan politik kepartian pihak tertentu.

Sebelum ini Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr Rais Yatim berkata kerajaan akan menjemput tokoh agama dan mufti hadir dalam forum berkenaan.

Ia susulan hasrat Hadi yang mahu muncul di televisyen selama sejam untuk menerangkan isu perpecahan umat Islam selepas mengeluarkan amanat yang mengkafirkan Umno di Terengganu pada 1981.

Ditanya mengapa PAS tidak menggunakan saluran media milik parti itu seperti Harakah dan TV PAS, Mustafa berkata: "(Media) kita terhad. tak ada jangkauan yang banyak, TV PAS setengah orang pun tak tahu."

Artikel Lain