suria

Amanat Abdul Hadi Tidak Sebut Kafirkan Umno - Khalid Samad

SHAH ALAM: Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Abdul Samad berkata, 'amanat' Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang pada tahun 1981 langsung tidak menyebut mengenai mengkafirkan Umno.

Khalid berkata, amanat itu sebenarnya merupakan petikan ucapan Abdul Hadi pada ketika itu.

Beliau bagaimanapun menjelaskan bahawa, ia diberikan nama 'amanat' oleh orang yang menyokong PAS dan dijual sebagai poster oleh penyokong atau ahli parti itu.

"Tidak ada mana-mana ayat dalam amanat ini menyebut mengkafirkan Umno.

"Ia diputar-belit oleh media arus perdana yang mentafsirkannya mengikut sesuka hati mereka," katanya pada sidang media di pejabat beliau di sini, Jumaat.

Sebagai penjelasan menyangkal dakwaan beberapa pihak bahawa amanat itu telah menyebut mengkafirkan umno atau tidak, beliau membaca petikan itu kepada para pemberita.

Ia merupakan petikan ucapan Abdul Hadi dalam ucapannya di Kampung Benggol, Peradong, Kuala Terengganu pada 7 April 1981.

Khalid berkata, amanat itu hanya merupakan semangat dan prinsip yang diamalkan dalam perjuangan PAS selama ini.

Jelasnya, PAS diakui menentang Umno kerana wawasan kedua-dua parti yang berbeza tetapi ia tidak bermakna PAS menuduh Umno sebagai kafir.

"Ia (amanat), bunyinya tegas, itu kita akui (tetapi) tidak sampai ke tahap mengkafirkan Umno atau pemimpin-pemimpin Umno.

"Budaya kafir-mengkafir bukan daripada PAS. Umno yang kata PAS kafirkan Umno, bukan kita yang kata," katanya.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain