suria

K'jaan Negeri P.Pinang Digesa Selesai Isu Beli Air Mentah Dari Kedah

BALIK PULAU: Kerajaan Negeri Pulau Pinang perlu menyelesaikan isu pembelian air mentah dari Kedah kerana ia dikhuatiri akan menyebabkan tarif air naik, kata Setiausaha Barisan Nasional (BN) negeri Datuk Seri Dr Hilmi Yahya.

Katanya, dalam Belanjawan 2013 Kedah yang dibentangkan Selasa lepas, Menteri Besar Kedah Datuk Seri Azizan Abdul Razak berkata pendapatan kerajaan negeri itu akan meningkat pada tahun depan apabila kerajaan Pulau Pinang mula membayar caj bekalan air mentah yang mengalir dari sungai negeri Kedah.

"Semasa kerajaan negeri Barisan Nasional mentadbir dahulu tidak perlu bayar caj air dari Kedah. Ini menunjukkan kerajaan pimpinan PAS Kedah dan kerajaan DAP Pulau Pinang tidak berpakat," katanya kepada pemberita selepas majlis penyerahan elaun sara hidup nelayan di sini Khamis.

Hilmi yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri kawasan Teluk Bahang berkata, tindakan kerajaan negeri Kedah mengenakan caj air mentah kepada Pulau Pinang dikhuatiri menyebabkan kenaikan tarif air oleh Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP).

Sementara itu, Pengurus Besar PBAPP Jaseni Maidinsa berkata pihaknya belum menerima surat rasmi daripada kerajaan negeri Kedah mengenai caj bekalan air itu.

Beliau berkata sebanyak 80 peratus air mentah di negeri ini diperoleh dari Sungai Muda, Kedah. BERNAMA

Artikel Lain