suria

ADUN Kuala Nerang Dihalang Masuk Dewan Meskipun Kes Muflis Selesai

ALOR SETAR: Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Kuala Nerang Datuk Syed Sobri Syed Hashim pada Selasa gagal dalam usahanya untuk menghadiri persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) meskipun mengemukakan dokumen beliau kini bukan lagi individu muflis.

Ketua Pembangkang DUN Kedah Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata Syed Sobri kini bebas daripada status muflis, yang sebelum ini menghalang beliau menghadiri sidang DUN.

"Beliau telah mendapat perintah mahkamah untuk pembatalan muflis yang dikeluarkan kepadanya pada 9 Nov lalu. Pagi semalam, beliau telah berjumpa dengan Speaker DUN (Datuk Dr Abdul Isa Ismail) untuk memohon memasuki sidang DUN yang bermula Selasa.

Speaker maklumkan beliau nak kena periksa dulu dengan Jabatan Insolvensi.

"Pagi tadi, saya jumpa Speaker, dia cakap tak boleh... katanya nak dapatkan maklumat lanjut dulu sedangkan Datuk Syed Sobri bawah perintah mahkamah. Carian di Jabatan Insolvensi tarikh hari ini menunjukkan Datuk Syed Sobri tidak muflis," katanya kepada kepada pemberita di luar dewan di Wisma Darul Aman.

Pada 3 April lepas, Syed Sobri mengumumkan beliau diisytihar muflis oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada Disember lepas kerana gagal membayar baki hutangnya berjumlah RM8 juta dengan beberapa bank tempatan dan agensi kerajaan.

Menurut peruntukan Undang-Undang Tubuh Negeri, setiap wakil rakyat yang diisytihar muflis akan lucut jawatan secara automatik, dan berikutan itu, beliau tidak boleh menghadiri persidangan DUN.

Mahdzir berkata adalah tidak adil untuk Speaker tidak membenarkan seorang wakil rakyat memasuki dewan sedangkan Syed Sobri kini bukan lagi muflis.

"Sedangkan tugas dia (Syed Sobri) di dewan. Harap dapat masuk... ada dua hari lagi persidangan. Beliau dah dapat semua perintah. Tiada alasan untuk tidak benarkan masuk dewan," katanya.

Sementara itu, Abdul Isa dalam satu kenyataan berkata beliau tidak dapat mengizinkan Syed Sobri mengambil bahagian pada Sidang Belanjawan kali ini kerana belum dapat memutuskan status terkini berhubung kes muflis wakil rakyat tersebut yang menyebabkannya hilang kelayakan sebagai Adun sebelum ini.

"Walaupun beliau telah menyerahkan kepada saya satu salinan perintah pembatalan kes kebangkrapan yang telah disabitkan ke atas beliau oleh Mahkamah Tinggi Shah Alam bertarikh 9 dan 16 Nov 2012, dan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 9 Nov 2012, dokumen tersebut tidak membatalkan keputusan saya sebelum ini tentang kehilangan kelayakan beliau sebagai Adun," katanya.

Abdul Isa juga berkata beliau masih meneliti serta berusaha mendapatkan pengesahan mahkamah dan Jabatan Insolvensi berhubung status terkini Syed Sobri.

"Saya juga dinasihatkan oleh Pejabat Penasihat Undang-Undang Negeri dan Pejabat Peguam Negara untuk mengumpul dan mengesahkan semua dokumen yang berkaitan untuk menentukan kedudukan beliau seterusnya," katanya.

Syed Sobri pula berkata beliau akan masuk ke sidang DUN esok selepas memperoleh surat daripada Jabatan Insolvensi Kedah hari ini untuk dihantar terus kepada Speaker.

Beliau berkata Abdul Isa sepatutnya berjumpa dan berbincang dengannya untuk menerangkan dengan lebih terperinci sebab beliau dihalang menyertai persidangan kali ini.

Syed Sobri amat kecewa dengan tindakan Abdul Isa kerana beliau masih Adun Kuala Nerang dan berhak mendengar pembentangan Belanjawan 2013 oleh Menteri Besar Datuk Seri Azizan Abdul Razak pada Selasa. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain