suria

243 Pertubuhan Belia Diperintah Bubar

KUALA LUMPUR: Sebanyak 653 daripada 8,188 pertubuhan belia yang berdaftar telah gagal mengemukakan penyata tahunan dan diberi surat amaran pertama, persidangan Dewan Rakyat diberitahu pada Selasa.

Timbalan Menteri Belia dan Sukan Datuk Razali Ibrahim berkata daripada jumlah itu, sebanyak 243 persatuan dikenakan perintah bubar sementara akibat kegagalan memberi maklum balas terhadap surat amaran yang diberi.

"Buat masa ini, tidak ada istilah yang merujuk kepada ketidakaktifan memandangkan Akta Pertubuhan Belia dan Pembangunan Belia baru dilaksanakan mulai 2007," katanya ketika menjawab soalan Datuk Ismail Abd Muttalib (BN-Maran).

Dalam pada itu, beliau berkata seramai 2.5 juta atau 20.8 peratus daripada 12 juta belia di negara ini telah berdaftar dengan pertubuhan atau persatuan belia.

Razali juga berkata pertubuhan belia atau golongan belia generasi baru digalakkan berkongsi pengalaman terutama daripada bekas pemimpin belia terdahulu khususnya dalam bidang kepimpinan.

"Pengalaman bekas kepimpinan dulu masih diperlukan. Malahan ada juga persatuan yang melantik bekas pemimpin sebagai penasihat atau penaung sebagai usaha untuk berkongsi pengalaman," katanya. -BERNAMA

Artikel Lain