suria

Ahli Perniagaan Terkejut Dengar Bunyi Tembakan Di Luar Rumah

KLANG: Seorang ahli perniagaan yang sedang tidur di rumah banglo dua tingkat di Taman Palm Grove di sini terkejut apabila terdengar bunyi tembakan di luar rumahnya dalam kejadian kira-kira 2 pagi Isnin.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor SAC Mohd Adnan Abdullah berkata mangsa berumur 61 tahun yang menjalankan perniagaan syarikat kontraktor perumahan kemudiannya membuat laporan polis memaklumkan mengenai kejadian tembakan itu.

Beliau berkata siasatan polis di rumah mangsa menjumpai satu anak peluru dan kesan tembakan di bahagian dinding tingkat atas banglo berkenaan.

"Maklumat awal yang kita terima mengatakan bahawa ada kedengaran bunyi kenderaan meninggalkan kawasan rumah berkenaan selepas tembakan dilepaskan namun kita masih belum dapat pastikan motif tembakan itu dilepaskan," katanya di sini Isnin.

Mohd Adnan berkata polis percaya antara dua dan tiga das tembakan dilepaskan dalam kejadian itu dan sedang menyiasat kemungkinan ia ada kaitan dengan dendam atau persaingan dalam hal membabitkan perniagaan.

Beliau berkata rumah berkenaan tidak mempunyai kamera kawalan litar tertutup (CCTV) dan ia merupakan kejadian pertama membabitkan mangsa.

Katanya ketika kejadian terdapat 10 anggota keluarga ahli pernigaan itu di dalam banglo berkenaan termasuk anak, menantu dan cucunya.

Mohd Adnan berkata kes disiasat mengikut Seksyen 39 Akta Senjata Api 1960 kerana kesalahan melepaskan tembakan di tempat awam yang memperuntukkan hukuman penjara sekurang-kurangnya setahun atau denda RM2,000 atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

"Kita juga meminta orang awam dan jiran mangsa supaya tampil menyalurkan maklumat kepada polis sekiranya terlihat kejadian itu bagi mengenal pasti jenis kenderaan dan bilangan penjenayah terbabit," katanya. - BERNAMA



Artikel Lain