suria

Gelombang Keamanan Sejagat Perlu Dimulakan - Hishammuddin

KUALA LUMPUR: Gelombang 'Keamanan Sejagat' perlu dimulakan untuk menghentikan sebarang persengketaan mahupun peperangan yang melibatkan mana-mana negara di dunia, kata Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.

Katanya, Malaysia boleh memulakan usaha itu untuk memberi kesedaran kepada pihak-pihak yang rakus ke arah perpecahan.

"Kita mahu keamanan sejagat dimulakan bukan hanya memberi tumpuan kepada kekejaman Israel di Gaza. Kalau kita boleh gerakkan satu gelombang 'We Want Peace', ia boleh dijadikan contoh untuk diamalkan negara lain," katanya kepada pemberita selepas majlis penutup Persidangan Kanak-kanak 'Children for Child Protection 2012' yang dihadiri lebih 500 peserta di sini Ahad.

Beliau mengulas mengenai serangan Israel ke atas Semenanjung Gaza yang telah mengorbankan sekurang-kurangnya 20 orang termasuk seorang pemimpin Palestin dan kanak-kanak serta mencederakan lebih 200 yang lain.

Katanya, masyarakat negara ini harus bersyukur kerana kanak-kanak di sini dapat hidup dan membesar dengan aman, berbanding kanak-kanak Gaza yang berdepan dengan cabaran getir setiap hari.

Sementara itu, Hishammuddin turut mengulas penahanan dua lelaki Malaysia di Melbourne, Australia kerana didakwa menganggotai satu sindiket antarabangsa untuk menghasilkan dokumen palsu.

"Kita mempunyai kerjasama rapat dengan Australia dan risikan mereka...kalau sekiranya ia hanya berhubung kait dengan pasport palsu saya tak bimbang sangat tetapi kalau pasport palsu tu ada kaitan dengan keganasan, itu menjadi isu yang serius," katanya.

Hishammuddin bagaimanapun berkata, beliau belum mempunyai laporan terkini mengenai kes itu.

Mengenai isu lain, Hishammuddin yang juga Naib Presiden Umno menyelar tindakan PAS yang berdoa supaya Umno dan Barisan Nasional (BN) dihancurkan sambil menegaskan ada had dan batasan dalam melakukan sebarang tindakan.

"Kalau musuh politik pun saya rasa ada had dan batasannya dalam kita hendak menggunakan agama," katanya sambil meminta anggota BN tidak melakukan perkara yang sama.

Beliau membayangkan pembangkang akan meningkatkan serangan bersifat peribadi ke atas program-program yang dilaksanakan kerajaan untuk kebajikan rakyat. - BERNAMA

Artikel Lain