suria

Belum Ada Kesan Daripada Taufan Sandy - Mukhriz

KUALA LUMPUR: Ekonomi Malaysia belum merasai kesan Taufan Sandy, yang mengakibatkan kemusnahan besar-besaran di AS, kata Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Mukhriz Tun Dr Mahathir.

Beliau berkata, kementeriannya belum menerima sebarang laporan mengenai kesan Taufan Sandy terhadap ekonomi Malaysia.

Bagaimanapun, katanya, Malaysia akan memantau situasi itu dengan teliti kerana mungkin ada sedikit kesan terhadap eksport.

"Kita masih dalam proses mengumpul maklumat daripada syarikat-syarikat yang kita tahu ada dagangan dengan Pantai Timur AS," katanya kepada Bernama dalam satu wawancara. Beliau berkata tsunami yang melanda Jepun pada 2011 dan bencana nuklear Fukushima memang memberi sedikit kesan ke atas Asean.

"Selepas pengalaman 2011 itu, kita perlu memantau dan mengkaji situasi di AS ini, untuk memastikan kita bersedia untuk menghadapi sebarang senario," tegas beliau.

Dilaporkan bahawa kerugian ke atas ekonomi yang dialami akibat Taufan Sandy dijangka melebihi US$20 bilion setelah ribut taufan Atlantik terbesar itu merempuh kawasan timur AS, serta memusnahkan rumah dan pejabat, dan menenggelami laluan bawah tanah bandar yang paling ramai penduduknya di Amerika itu. -BERNAMA

Artikel Lain