Wanita Meninggal Dunia Selepas Buat Pasport Untuk Bayi - Semasa | mStar

Wanita Meninggal Dunia Selepas Buat Pasport Untuk Bayi

JOHOR BAHARU: Seorang wanita berusia 33 tahun meninggal dunia di Kompleks Kementerian Dalam Negeri (KDN) di Setia Tropika di sini petang Rabu selepas membuat pasport untuk bayi lelakinya yang berusia 11 hari.

Pegawai Penguatkuasa Jabatan Imigresen Johor, Muhammad Acil berkata, seorang pegawai kaunter menyedari wanita itu tiba-tiba menggelungsur dari tempat duduknya lalu terbaring di atas lantai.

"Pasport bayi yang beralamat di Taman Johor Jaya itu siap dan diserahkan kira-kira 4.45 petang tetapi wanita itu dan seorang lagi wanita dipercayai rakan atau saudaranya memangku bayi itu terus duduk di kerusi tersebut.

"Sekitar jam 5.30 petang, seorang pegawai imigresen bertugas di kaunter menyedari ibu bayi itu menggelungsur jatuh ke lantai," katanya.

Pegawai yang bertugas segera menghubungi Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) untuk mendapatkan bantuan namun usaha petugas JPAM untuk menyedarkan wanita itu gagal.

Beliau berkata, pegawai perubatan dari Hospital Sultanah Aminah (HSA) mengesahkan kematian wanita itu sekitar pukul 6 petang.

Muhammad berkata, mayat wanita terbabit kemudiannya dibawa ke HSA dan bayi itu diserahkan kepada bapanya yang tiba selepas dimaklumkan mengenai kejadian.

Bapa bayi itu berada di Singapura atas urusan kerja ketika kejadian tersebut. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Berkaitan

Artikel Lain