suria

UPM Akan Meterai Perjanjian Projek Biasiswa Siswazah Kepada Pelajar Asia Tenggara

PETALING JAYA: Universiti Putra Malaysia (UPM) akan menandatangani memorandum perjanjian (MoA) dengan The Southeast Asian Regional Centre For Graduate Study And Research In Agriculture (Searca).

UPM dalam satu kenyataannya pada Ahad berkata, MoA itu merupakan batu asas bagi pelaksanaan Projek Biasiswa Siswazah Bersama UPM-Searca yang menawarkan International Graduate Research Fellowship (IGRF) kepada pelajar dari Asia Tenggara yang berhasrat untuk menyambung pelajaran di peringkat Ijazah dan Doktor Falsafah (PhD) dalam bidang pertanian dan sains yang berkaitan di UPM.

“Melalui kerjasama ini, UPM menawarkan satu ‘pemadanan biasiswa’ dalam bentuk biasiswa UPM-Searca untuk setiap satu biasiswa penuh daripada Searca.

“Bilangan penerima biasiswa daripada UPM boleh ditingkatkan kepada maksimum empat pelajar untuk setiap tahun akademik, sekiranya Searca turut menaja empat pelajar dengan biasiswa penuh, tertakluk kepada persetujuan bersama, mulai semester akan datang,” kata kenyataan itu.

Menurut kenyataan itu lagi, Searca merupakan sebuah badan antarabangsa yang ditubuhkan oleh Pertubuhan Menteri-menteri Pendidikan bagi Asia Tenggara (Seameo) pada tahun 1966.

“Sejajar dengan matlamat penubuhannya untuk meningkatkan dan mengukuhkan kemampuan universiti dalam bidang pertanian dan pembangunan luar bandar di Asia Tenggara melalui program biasiswa siswazah, penyelidikan dan pembangunan serta pengurusan ilmu, Searca telah mengembangkan program penawaran biasiswa pengajian siswazah ke UPM,” katanya.

Sehingga kini, Searca telah menganugerahkan 77 biasiswa kepada pelajar yang datang dari pelbagai negara di rantau ini untuk pengajian di UPM.

Artikel Lain