suria

Emma Suhaimi minta Datuk Red berhenti syok sendiri, Adira layak bahagia selepas bercerai… “Dia paksa hingga ke tahap paling tidak selesa”

Keluarga Adira terkejut dengan tindakan Adnan.

BUKAN hanya terkejut, malah keluarga penyanyi Adira juga tidak bersetuju apabila bekas suaminya, iaitu Datuk Seri Adnan Abu, memfailkan permohonan rujuk di mahkamah.

Menurut kakak kepada Adira, Emma Suhaimi, permohonan untuk kembali bersama itu dilakukan secara paksaan selepas Adnan, atau mesra disapa Datuk Red, menyatakan hasratnya beberapa kali.

“Setahu kami apa yang kami lihat, tiada tanda-tanda rujuk sepanjang mereka bercerai. Malah, seminggu sebelum Adnan ke umrah, dia ada menyatakan hal ini secara tiba-tiba selepas cintanya ditolak.

Luahan Emma di Instagram. 

“Dia memaksa dengan macam-macam cara sehingga ke tahap yang paling tidak selesa. Adira sudah mahu teruskan hidup, tetapi dia tidak dapat menerima hakikat itu.

“Adira sudah jumpa jalan keluar dan membawa haluan sendiri, namun Adnan pula membawa perkara ini ke mahkamah. Keluarga semua terkejut dan tidak bersetuju dengan hal ini,” katanya dalam satu hantaran yang dimuat naik di Instastory.

Emma pada masa sama turut memberi bayangan keluarga mereka tidak akan berdiam diri susulan isu ini selepas Adnan beberapa kali mahu bersama Adira.

ARTIKEL BERKAITAN: Adira terkejut Datuk Red fail pengesahan rujuk dua hari lalu, serah kepada peguam 

ARTIKEL BERKAITAN: Adira, Datuk Red didakwa rujuk dalam tempoh idah, fail pengesahan dua hari lalu

Malah, dia juga memberi peringatan tegas agar usahawan itu tidak lagi melukai hati adiknya.

“Adira layak bahagia, Adnan pun layak bahagia. Tetapi untuk membiarkan adik kami berada di tempat yang sama dengan drama yang tidak berkesudahan, masalah yang tiada penghujung, berjuang sendirian… bertahan bukan lagi pilihan.

“Buat Adnan, bila tidak mampu memberi bahagia, jangan hulurkan sengsara dan sakit yang berpanjangan,” tegasnya.

Keluarga mahu Adira terus bahagia. 

Dalam satu hantaran berbeza, Emma turut memberitahu tindakan Adnan itu seolah-olah membelakangi keluarga kerana dibuat tanpa perbincangan awal.

“Yang kami tuntut adalah hormat. Kalau betul mahu rujuk, kenapa tidak beri khabar kepada keluarga? Setahu kami, mak pernah bertanya tentang isu ini kerana di media sosial ada cakap mengenai teman wanita dan teman lelaki.

“Tetapi jawapan yang diberikan adalah mahu menyelesaikan perkara penting terlebih dahulu. Kami sudah lama menunggu. Menanti bukan lagi pilihan kami.

Adira tidak mengetahui Adnan memfailkan pengesahan rujuk. 

“Kami tidak menghalang tindakan ke mahkamah itu. Tidak salah jika mahu tahu status sah atau tidak. Tetapi yang tidak betul apabila satu keluarga di Sabah terkejut,” luahnya.

Sebelum ini, Adnan menerusi peguamnya memaklumkan telah memfailkan pengesahan rujuk terhadap Adira pada Rabu.

Adira juga memberi respons bahawa dia terkejut kerana tidak mengetahui tindakan bekas suaminya itu.

Untuk rekod, Adira dan Datuk Red mendirikan rumah tangga pada 3 Disember 2015 sebagai isteri kedua. Namun, perkahwinan itu berakhir dengan perceraian pada 24 April tahun lalu.

Hasil perkahwinan tersebut, pasangan ini dikurniakan empat orang cahaya mata iaitu Anggrek,7, Asan,6, Anggun,5, dan Ayob,3.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

TONTON VIDEO PILIHAN!

Artikel Lain