PENGACARA Roslan Shah menafikan dakwaan kononnya dia mempunyai niat untuk menggunakan individu orang kurang upaya (OKU) sebagai tetamu dalam program Night Walk terbitan Mangobossku.
Roslan, 55, berkata penglibatan wanita OKU dikenali sebagai Mass Factor dalam program tersebut adalah atas permintaannya sendiri dan bukan ditawarkan oleh pihak produksi.
Kata Roslan, dia turut meletakkan syarat kepada Mass sebelum bersetuju untuk bekerjasama.
"Saya tak pernah tawarkan kepada dia tetapi ini adalah atas permintaannya sendiri.

Roslan sekadar mengikut permintaan Mass yang mahu menyertai program Night Walk.
"Saya menghormati dia kerana kita tidak boleh memandang hina kepada seorang OKU.
"Saya beri syarat kepadanya, kalau buat program bersama saya tidak boleh menyentuhnya," katanya kepada mStar.
Roslan berkongsi perkara itu ketika ditemui pada sidang media OHBulan! Paling Viral Online yang diadakan di Balai Berita Bangsar, Kuala Lumpur pada malam Jumaat.
Dalam pada itu, Roslan memberitahu pada awalnya dia dan pihak produksi agak keberatan untuk menerima penyertaan Mass kerana bimbang akan menerima kecaman netizen.
ARTIKEL BERKAITAN: Roslan Shah tak sangka makin popular, pengikut TikTok naik mendadak
ARTIKEL BERKAITAN: Karakter gedik dalam paranormal bukan buat-buat, Roslan Shah kata asalkan tak mekap perempuan
Bagaimanapun Roslan menganggap ini merupakan rezeki buat wanita terbabit kerana menerima bayaran sebanyak SGD2,000 (kira-kira RM6,300) selepas berjaya menghabiskan cabaran selama satu jam bersamanya.
"Sebenarnya saya dan pihak produksi tidak boleh menerima permintaannya itu kerana dia (Mass) seorang wanita dan OKU, takut dikecam netizen.
"Bagi saya, ini adalah rezeki dia. Dia menerima bayaran sebanyak SGD2,000 (RM6,300) kerana dapat menghabiskan cabaran selama satu jam bersama saya. Lokasi pengambaran kami di kawasan perkuburan India.
"Dia yang menawarkan diri kerana impiannya untuk masuk ke program ini. Katanya dapat rezeki bayaran itu dia mahu berikan kepada bapanya," ujarnya.
Mengulas lanjut, Roslan memaklumkan pihak produksi telah menyediakan surat perjanjian yang ditandatangani oleh Mass sebelum penggambaran bermula.

Nama Roslan semakin dikenali menerusi program Night Walk.
"Ini adalah kali pertama saya bersama peserta OKU. Kita takut juga dengan kecaman sebab tak tahu netizen dari Singapura dan Malaysia punya reaksi yang mungkin akan menjatuhkannya.
"Sebelum itu pasukan kami sudah beri surat perjanjian untuk dia (Mass) tandatangan, jadi apa akan berlaku pada dirinya kami tidak akan bertanggungjawab.
"Ini kerana dia yang tawarkan diru untuk sertai program kami. Apa-apa jadi kami tidak akan bertanggungjawab," katanya.
Pada November lalu, penglibatan Mass dalam program Night Walk menerima pelbagai reaksi termasuk ada yang mendakwa Roslan sengaja menggunakan individu OKU untuk meraih tontonan.
Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube
TONTON VIDEO PILIHAN!


